Jan092009
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Krisis Ekonomi dan Perubahan Politik

 

Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur atas kesudian mereka mengundang saya menyampaikan Ucap Utama di Seminar Kebangsaan Sejarah Keusahawanan ini. Tajuk yang diberikan kepada saya ialah ‘Krisis Ekonomi dan Perubahan Politik: Peluang Untuk Perusahaan dan Keusahawanan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Economic Crisis And Political Transitions: Opportunities For Enterprise and Entrepreneurship’. tajuk yang tidaklah terlalu mudah diperkatakan dengan saksama dalam masa beberapa minit atau barangkali dalam masa 30 minit sahaja. Namun, pada masa sedang berlakunya apa yang disebut ‘krisis ekonomi global’ sekarang, topik ini tentu menarik untuk diperkatakan tidak sahaja di kalangan ahli akademik yang perihatin seperti saudara dan saudari yang berada dalam dewan ini, tetapi juga menjadi tajuk perbualan di kalangan rakyat biasa, dan mungkin juga menjadi topik perbincangan kritis dan profesional (kalau tidak secara retorik) di kalangan ahli politik dan pembuat dasar, golongan peniaga dan usahawan.

 

 

2. Saya akan bercakap bukan sebagai pakar akademik dalam bidang ekonomi, khususnya ekonomi klasikal yang selama lebih seratus tahun dikaitkan dengan apa yang disebut ‘liberalisme pasaran’ atau ‘market liberalism’. Saya tidak percaya bahawa masalah atau krisis ekonomi hanya boleh diselesaikan oleh pakar-pakar ‘classical economy’ atau oleh penganut ekonomi pasaran semata-mata, kerana dalam banyak hal krisis ekonomi sering juga berlaku disebabkan kegagalan para pakar dan penasihat ekonomi kerajaan untuk berfikir di luar kotak sistem dan ilmu ekonomi lama. Tahu-tahu, pakar ekonomi itu sendiri yang menyebabkan timbulnya masalah ekonomi rakyat dan negara. Pembangunan ekonomi menyentuh kehidupan setiap manusia dan rakyat dan kehidupan negara, maka kerana ini pembangunan mestilah menjadi keperihatinan semua pihak, tidak hanya pakar ekonomi.

3. Pelaku utama dalam dunia ekonomi pasaran atau dalam dunia pembangunan ekonomi ialah manusia yang disebut usahawan dalam bahasa Melayu atau ‘entrepreneur’ dalam bahasa Inggeris. Usahawan dan keusahawanan sudah wujud di negeri ini sejak mungkin beberapa abad yang lalu. Dalam bahasa yang biasa, usahawan bererti orang yang berusaha mengumpulkan atau mendapatkan sumber-sumber yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu barangan atau produk ekonomi atau perkhidmatan dan mengedarkannya dalam pasaran. Kadang-kadang dia disebut ‘orang tengah’, tidak dalam erti kata ‘middle man’ yang buruk maknanya, misalnya sebagai pemeras, tetapi sebagai pengusaha ekonomi yang produktif, kreatif dan inovatif. Kaum Cina mungkin menggelarnya ‘tauke’. Ahli ekonomi moden menggelarnya ‘pemodal’ atau ‘a capitalist’. Jadi, usahawan ialah pengusaha atau pelaku dalam sistem ekonomi pasaran; dia bukan ahli ekonomi atau pakar perniagaan yang selalunya belum tentu pandai berniaga. Lim Goh Tong, orang yang dikatakan tidak pernah bersekolah dan buta huruf atau ‘semi-illiterate’ semasa dia mula-mula berniaga, adalah seorang usahawan besar; dia berjaya membina sebuah empayar perniagaan multi-billion ringgit. Saudara boleh menyebut banyak contoh yang lain. Saya ada terbaca cerita tentang bagaimana beberapa orang di Amerika yang menghadapi masalah kewangan semasa berlaku Kemelesetan Besar, the ‘Great Depression’ tahun 1930-an, berjaya menjadi jutawan. Mereka adalah usahawan.

4. Barangkali sarjana pertama yang secara serius mengemukakan teori tentang ‘entrepreneurship’ atau ‘keusahawanan’ ialah ahli ekonomi besar bangsa Austria (kemudian menjadi profesor ekonomi di Universiti Harvard), iaitu Josef Schumpeter. Beliau mengemukakan dua teori tentang keusahawanan. Teori pertama, yang kadang-kadang disebut Teori Mark I, mengatakan bahawa ‘inovasi dan perubahan teknologi di sesebuah negara datangnya daripada usahawan, atau dari ‘manusia bersemangat berani’ atau ‘wild spirits’. Dia menciptakan perkataan Unternehmergeist, perkataan bahasa Jerman yang bermakna dalam bahasa Inggerisnya ‘entrepreneur-spirit’. Dalam teori kedua, yang juga disebut teori Mark II, yang dikembangkannya semasa dia menjadi profesor di Universiti Harvard (1932-50), dia menegaskan bahawa pelaku yang memacu inovasi dan ekonomi adalah  syarikat-syarikat besar yang mempunyai sumber dan modal untuk dilaburkan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R & D).

5. Jadi, menurut teori pembangunan ekonomi Schumpeter, keusahawanan dianggap sebagai agen perubahan dalam nadi kapitalisme, yang terus-menerus melakukan proses ‘the creation and destruction of businesses, social formations and political interests driving capitalist development’. Dia mencirikan keusahawanan sebagai tenaga yang ‘restless’, yakni yang tidak tahu diam, dan sebagai tenaga yang ‘disruptive’, yakni, tenaga yang sentiasa melakukan perombakan dan perubahan. Dia melihat usahawan sebagai manusia yang ‘digerakkan oleh kemahuan untuk mencari, mencipta dan menawan’, didorong oleh ‘keseronokan mencipta, bertindak melakukan sesuatu kerja hingga selesai, menghidupkan tenaga dan kepintarannya’. Katanya lagi, usahawan ‘mencari masalah dan kesusahan, mengubah sesuatu untuk melakukan perubahan, dan  seronok berusaha’.

6. Schumpeter adalah seorang ahli ekonomi aliran kapitalisme liberal atau aliran ‘liberalisme pasaran’ yang klasikal atau ortodok.

7. Soal yang hendak saya timbulkan ialah soal krisis ekonomi itu: apakah puncanya? Mengapa krisis ini dikatakan berlaku secara ‘cyclical’, secara berulang-ulang atau bermusim. Saya tidak mempunyai apa-apa teori untuk menjelaskan krisis ini. Saya cuma melihat krisis ini sebagai seorang pemerhati yang, kalau boleh saya katakan, pemerhati yang kritis (a critical observer) dan juga berdasarkan pengalaman saya sebagai Menteri Kewangan dan juga Menteri Perdagangan suatu ketika dahulu.  Saya berpendapat ada tiga punca utama mengapa sering berlaku apa yang disebut ‘krisis ekonomi’ itu, baik di peringkat global mahupun di peringkat kawasan dan dalam negeri. Pertama, kita terlalu percaya kepada kuasa pasaran (‘the market forces’) atau kepada ‘model’ kapitalisme klasikal sebagai sistem yang dapat mencipta kekayaan, memajukan keadaan hidup ekonomi manusia, tidak kira di mana pun mereka berada, terutama di kawasan yang dikatakan tidak maju dan termiskin; kita percaya sistem ini seolah-olah mempunyai kuasa ajaib, seolah-olah sama dengan peraturan Sunnatullah (yang kadang-kadang disebut ‘the law of nature’) untuk menyelesaikan segala masalah manusia dan negara, terutama masalah kemiskinan. Kedua, kita menciptakan peraturan – yang disebut peraturan pasaran atau peraturan perdagangan – yang tidak adil kepada pihak tertentu tetapi adil kepada pihak yang lain. Ketiga, oleh kerana kita terlalu percaya kepada kuasa ekonomi pasaran yang liberal kita tidak nampak apakah keburukannya yang tersirat, yang ‘inherent’ dalam sistem itu. Lalu kita tidak mengawalnya, dan selalunya tidak dibenarkan oleh penganut ekonomi pasaran liberal yang ekstrim supaya dikawal oleh negara atau kerajaan. Dan oleh kerana kita terlalu percaya dengan kuasa pasaran itu untuk memajukan ekonomi manusia dan negara kita tidak nampak apakah ada model lain yang mungkin lebih baik dalam konteks tertentu untuk mengimbangi atau menggantikan model itu.

8. Krisis ekonomi yang berlaku di Amerika itu berlaku kerana ekonomi Amerika sudah terlalu menggelembung seperti belon; ia dibiarkan menjadi ‘ekonomi buih’ atau ‘bubble economy’, maka apabila tiba masanya (‘cycle’) pecahlah buih atau belon itu. Itulah namanya ‘market crash’ dan tercetuslah krisis ekonomi. Dan oleh kerana banyak negara di dunia terikat atau diikat dengan sistem global yang sama, yang sebahagian besar peraturannya ditentukan oleh negara-negara kuasa ekonomi pasaran yang besar dan dikatakan ‘maju’ maka semua negara lain itu turut mengalami krisis yang sama, kecuali negara yang model pembangunan ekonominya dapat mengimbangi atau menahan kesan krisis itu daripada merebak ke kawasannya.

9. Biar saya herterus terang.  Banyak orang sekarang tahu bahawa ekonomi pasaran boleh digunakan dan sering digunakan oleh pembuat dasar kerajaan dan wakil-wakil atau agen antarabangsa mereka dan golongan pemodal dan ‘free-marketeers’ yang rakus untuk menjajah pasaran itu dan pengguna. Peraturannya sebahagian besarnya ditentukan secara unilateral di luar negeri kita, misalnya ditentukan oleh pakatan ‘Washington Consensus’ yang menggunakan International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia sebagai proksi mereka. Persaingan semakin menjadi ‘the art of war’; berdasarkan peraturan rimba ala-Darwinian untuk menentukkan ‘siapa yang kuat dia menang, siapa yang lemah dia kalah dan musnah’ – ini peraturan ‘survival of the fittest’. Kerjasama yang ‘genuine’ tidak ada lagi. Padang permainan dagang antarabangsa dan juga dalam negeri tidak sama rata. Negara yang termiskin terpaksa atau dipaksakan bersaing dengan gergasi ekonomi dan perindustrian dunia.

10. Jikalau saudara mahu mengetahui lebih lanjut tentang ketidakadilan dan sifat eksploitasi dan penjajahan peraturan pasaran antarabangsa ini, cubalah baca dua buah buku karangan pemenang Hadiah Nobel dan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi kepada Presiden Clinton, iaitu Joseph Stiglitz: (a) Globalisation and Its Discontents (2005) dan (b) Globalisation: How To Make It Work (2007).

11. Saya perhatikan bahawa kritikan terhadap ‘market liberalism’ semakin meningkat. Saya sebutkan satu contoh sahaja, iaitu Arthur MacEwan. Dalam bukunya yang cukup baik, bertajuk Neo-Liberalism Or Deocracy? (1999), dia menyebut beberapa mitos tentang ekonomi pasaran. Dia berkata ‘Neo-liberalism, in its extreme form, presents to us with the view of the world in which there are only two choices, an economy organized by the markets or an economy organized by dictatorial – or at best inept and inefficient – statist bureaucracy’. ‘Neo-market liberalist’, menurut MacEwan, percaya bahawa ‘… international commerce without government regulation holds the key to successful economic expansion.’

12. Di Malaysia golongan  ‘neo-market liberalist’ ini mendesak kerajaan supaya membebaskan pasaran atau ekonomi Malaysia daripada sebarang kawalan atau peraturan kerajaan. Dengan kata lain, mereka mahu pasaran ekonomi Malaysia di-‘deregulate’, persis seperti kehendak IMF, seolah-olah mereka percaya bahawa ekonomi pasaran atau kapitalisme Amerika dan negara kapitalis yang lain bebas daripada segala kawalan atau peraturan kerajaan, bahawa negara-negara itu membiarkan keadaan laissez-faire berlaku dalam sistem ekonomi atau pasaran domestik mereka. Dan seolah-olah juga mereka percaya bahawa peraturan pasaran bebas IMF itu adalah peraturan yang ‘keramat’, baik untuk semua orang, semua bangsa dan negara. Stiglitz berkata dalam bukunya – buku (b) yang saya sebutkan tadi – bahawa ekonomi pasaran Amerika Syarikat adalah antara yang paling ‘regulated’.

13. Jadi, berdasarkan desakan golongan ‘neo-market liberalist’ di Malaysia, dan mungkin juga sebagai sokongan kepada agenda Ronald Reagan-Thacherite yang dalam tahun 1980-an membentuk dasar politik antarabangsa yang membenarkan model ‘neo-market liberalism’ itu diamalkan dalam bentuknya yang paling ekstrim, maka berlakulah proses penswastaan yang sangat ekstrim. Tidak sahaja ekonomi dan perusahaan awam diswastakan bahkan juga beberapa banyak institusi dan kemudahan sosial awam, seperti hospital dan kemudahan air dan tenaga, diswastakan atau dikorporatkan. Baru-baru ini kita mendengar Institut Jantung Negara (IJN) akan diswastakan, tetapi kerana dikritik oleh pelbagai pihak, maka rancangan ‘neo-market liberalist’  ini ditangguh.  Sekarang baru kita dengar bahawa Sime Darby telah membatalkan rancangannya untuk membeli IJN.

14. Saya tidak anti-kapitalisme atau ekonomi pasaran, tetapi saya tidak pula menyokong sepenuhnya supaya hanya model ini sahaja, secara monolitik, dijadikan penggerak utama dasar ekonomi negara atau dasar pembangunan negara. Kita tahu bahawa dalam banyak hal, ekonomi kapitalisme atau ekonomi pasaran lebih baik daripada sistem ekonomi sosialisme atau komunisme, iaitu ekonomi yang seluruhnya dikawal dan dimiliki oleh negara, sehingga sistem itu menyekat kreativiti dan inovasi dalam sektor perniagaan. Tetapi dalam sistem ekonomi kapitalisme tidak bererti Negara atau kerajaan melepaskan tangan dan menyerahkan ekonomi negara kepada sektor swasta atau kepada golongan usahawan dan peniaga sahaja. Seperti yang saya sebutkan tadi, ekonomi Amerika Syarikat pun dikawal oleh peraturan kerajaan. Ini tidak bererti bahawa kerajaan itu mengambil alih tugas dan peranan keusahawanan. Dalam negara demokrasi seperti Malaysia, tindakan seperti itu tentunya dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara. Kemiskinan, misalnya, tidak dapat dihapuskan semata-mata dengan usaha kerajaan sahaja; usaha ini harus didukung oleh ekonomi pasaran yang ‘robust’, yang bertumbuh dan berkembang. Intervensi (bukan campur tangan) atau peranan kerajaan dalam sistem ekonomi negara, terutama di negara yang ekonominya sedang membangun, saya anggap penting dan wajib untuk memastikan bahawa sistem itu tidak hanya terlalu ‘market-oriented’ tetapi juga ‘public- dan ‘socially-oriented’. Dengan cara ini akan wujudlah semacam kerjasama ekonomi antara kerajaan dengan dunia korporat dan keusahawanan dalam proses pembangunan sosio-ekonomi negara.

15. Dalam konteks demokrasi inilah Arthur MacEwan, misalnya, mencadangkan suatu model lain yang lebih ‘demokratik’ untuk menggantikan model ‘ekonomi  pasaran’ dan model kapitalisme yang liberal ekstrim, iaitu model yang disebutnya a democratic economic development strategy, yang melibatkan rakyat, mungkin melalui wakil rakyat mereka dalam Parlimen, dalam proses perancangan membuat keputusan dasar ekonomi negara atau pembangunan ekonomi negara.

16. Schumpeter sendiri, ahli teori ekonomi ‘market-liberalism’ pada zaman dia nampaknya menyedari bahawa sistem ‘advanced capitalism’ iaitu,  kapitalisme yang terlalu ‘market-driven’ akhirnya boleh ‘mematikan’ kapitalisme. Keusahawanan sentiasa membuat perubahan melalui proses yang disebut creative destruction, iaitu proses ‘...in which the old ways of doing things are endogenously destroyed and replaced by new ones’. Kapitalisme yang digerakkan melalui  proses ini akan melahirkan bentuk-bentuk keusahawanan baru, iaitu dalam bentuk ‘corporatism’ yang akan mengembangkan nilai-nilai baru yang ‘hostile to capitalism, especially among intellectuals’. Jadi, kejayaan kapitalisme melalui proses ‘creative destruction’ menurut Schumpeter boleh membawa kepada matinya kapitalisme itu. Katanya, ‘The intellectual and social climate needed to allow entrepreneurship to thrive will not exist in ‘advanced capitalism’. It will be replaced by socialism in some form’. In his vision, the intellectual class will play an important role in capitalism’s demise. He believed that the demise of capitalism ‘will come about as democratic majorities vote for the creation of a welfare state and place restrictions upon entrepreneurship that will burden and destroy the capitalist structure’.

17. Schumpeter mengembangkan teorinya tentang pembangunan ekonomi dengan menggunakan keadaan sosial dan politik yang wujud di Eropah atau khususnya di Austria sebagai input empirikalnya atau sebagai rujukan empirikalnya. Teori itu mungkin tidak sah secara universal; ia boleh jadi tidak kena dalam konteks atau latar belakang sejarah, sosial, budaya dan politik yang berbeza, misalnya di Asia atau di dunia Islam. Visinya bahawa ‘kapitalisme akan mati’ di dunia dia kerana ditentang oleh golongan intelektual agak terlalu ‘sempit’. Dalam konteks dunia lain, kapitalisme yang menimbulkan nilai-nilai sosial, budaya dan agama yang ‘destructive’ atau ‘disruptive’ boleh menimbulkan penentangan dari seluruh penduduk negara, dari NGO’s dan golongan agama dan sebagainya, tidak hanya dari golongan intelektual.

18. Ketahanan dan kekekalan keusahawanan dalam ekonomi pasaran bergantung pada banyak faktor dan keadaan, sesetengahnya dapat dikawal oleh usahawan tetapi banyak yang lain pula berada di luar kawalan dan kuasa usahawan tetapi tetap sangat penting bagi pertumbuhan dan kejayaan perusahaan usahawan. Faktor penting bagi kejayaan dan kemajuan keusahawanan, seperti yang ditegaskan oleh Schumpeter, ialah keupayaannya untuk melakukan inovasi atau perubahan dalam sistem dan operasinya. Tetapi hal yang penting kita tegaskan ialah, inovasi itu tidak hanya untuk kepentingan perniagaan tetapi juga untuk kebaikan masyarakat dan pengguna.  Dengan kata lain, inovasi melalui proses creative destruction itu lebih bersifat ‘market-oriented’ atau ‘entrepreneur-oriented’, tidak ‘society-oriented’ atau ‘consumer-oriented’.  Janganlah sistem kapialisme itu hanya cekap mencipta kekayaan tetapi tidak cekap menyelesaikan kemiskinan.

19. Sekiranya sistem dan peraturan ekonomi dan perdagangan dunia berdasarkan model ‘neo-market liberalism’ ini tidak berubah, biarkanlah, tetapi dalam kawasan sendiri kita mempunyai kuasa untuk menentukan model pembangunan yang macam manakah yang perlu dibina sesuai dengan sejarah dan keadaan demografi, budaya dan sosial dan nilai-nilai bangsa kita. Kita perlu mengimbangi sistem ekonomi klasikal itu dengan model-model atau acuan sendiri, ‘model pertengahan’ atau model kesederhanaan yang kita percaya dapat menjamin ekonomi dan pasaran kita daripada menggelembung dan berbuih lalu meletup dan ‘crash’.

20. Tetapi beberapa syarat perlu ada di negara ini untuk mewujudkan keadaan yang dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan keusahawanan yang cekap, adil dan berdaya tahan. Dua syarat penting yang hendak saya sentuh serba ringkas ialah: (a) adanya kestabilan politik, dan (b) adanya pemerintahan yang baik – atau adanya ‘good govenance’.

Kestabilan Politik Dan ‘Good Governance’

21. Selama lebih tiga dekad selepas Merdeka, keadaan politik di negara ini boleh dikatakan agak stabil. Kecuali peristiwa 13 Mei, negara ini dalam tempoh itu boleh dikatakan cukup aman. Perkhidmaan awam, rata-rata pun boleh dikatakan cekap dan tidak dicemari oleh kejadian dan perbuatan buruk seperti rasuah yang ketara. Institusi kehakiman juga agak bebas. Beberapa orang hakim pada waktu itu dihormati dan ditakuti oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. Keadaan ini semua merupakan penggalak yang besar bagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang aman dan makmur.

22. Tetapi keadaan mulai berubah. Pembangunan fizikal dan materialistik yang pesat dan gah rupa-rupanya ada kesan sampingan yang tidak baik terhadap moral manusia. Pembangunan itu menyebabkan orang dalam sektor awam menjadi materialistik dan ‘mesra-wang’, lalu tumbuhlah budaya upah mengupah antara pengusaha awam dengan pengusaha sektor ekonomi (pemodal, usahawan, peniaga dan lain-lain), pendek kata, berlakulah rasuah dalam sistem awam dan di kalangan orang yang berkuasa. Saya tidak perlu menceritakan hal ini dengan panjang lebar kerana cerita ini sudah menjadi pengetahuan umum.

23. Institusi kehakiman mulai tidak bebas lagi kerana takut dikenakan tindakan oleh Ketua Eksekutif kerajaan. Hakim yang berani, yang tidak menurut perintah orang yang lebih berkuasa, dikenakan tindakan eksekutif dan dipecat. Perlantikan hakim tidak lagi berdasarkan meritokrasi sepenuhnya.  Peguam bela dan tauke judi dikatakan ada pengaruh dalam pelantikan hakim. Pita Rakaman Video Lingam mendedahkan skandal ini.

24. Dalam UMNO, parti dominan dalam BN yang memerintah, banyak berlaku perkara yang tidak sihat. Sejak tahun lapan-puluhan ‘politik wang’ atau ‘rasuah politik’ menjadi-jadi, merosakkan imej dan kewibawaan politik parti itu. Suara yang menentang, suara yang kritis, terutama terhadap kelemahan kepimpinan parti itu, sering diberi amaran dan ‘tindakan disiplin’ dikenakan terhadap mereka yang tidak dengar kata. Akhirnya kepimpinan UMNO tidak boleh  dicabar. Peraturan yang digunakan ialah ‘sistem kuota pencalonan’. Ahli yang hendak bertanding merebut jawatan tertinggi parti mesti mendapat pecalonan sekian peratus daripada bahagian. Tidak banyak bahagian UMNO yang berani mencalonkan orang yang hendak merebut jawatan Presiden atau Timbalan Presiden UMNO yang akan mempertahankan jawatan mereka. Jadi, parti kebangsaan Melayu yang terbesar ini akhirnya membuang demokrasi dan menggantikannya dengan autokrasi. Maka ‘rakyat parti’ yang jumlahnya melebihi 3 juta orang tidak lagi berhak atau tidak mempunyai kebebasan untuk memilih kepimpinan yang cekap bersih dan amanah.

25. Semua kejadian ini, baik dalam budaya pengurusan kerajaan dan juga dalam parti yang memerintah, akhirnya terkumpul dan meletup, tidak ubah seperti meletupnya ekonomi atau pasaran ekonomi buih. Rakyat marah, benci dan meluat. Maka berlakulah krisis politik UMNO/BN apabila dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) parti yang terkuat dan terbesar sejak 50 tahun nyaris-nyaris hilang kuasa politik dan kuasa pemerintahannya. Apakah atau siapakah yang salah? Tetapi soalan ini tidak difikirkan, tidak dibahaskan secara serius dalam UMNO. Mereka lebih banyak menyalahkan faktor luaran, tidak faktor dalaman. Apakah saudara sekelian melihat apa-apa perubahan yang berlaku dalam UMNO sejak PRU-12 itu?

26. Ini bukan forum untuk membedal UMNO. Saya orang UMNO. Tetapi apa-apa keburukan yang berlaku dalam UMNO kesannya kepada negara, kepada ekonomi negara, kepada keselamatan negara dan sebagainya boleh jadi besar dan serius. UMNO telah hilang visi asalnya sebagai parti untuk rakyat, tidak kira bangsa, walaupun ia adalah parti kebangsaan Melayu. Kerajaan yang didukung oleh Parti inilah yang bertanggungjawab membentuk beberapa Dasar kebangsaan yang merentas kepentingan kaum. Visi itu terus hidup di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak yang menterjemahkan visi kebangsaan UMNO atau BN itu dalam bentuk dasar-dasar kebangsaan yang bertujuan untuk membangunkan negara dalam bidang ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial berdasarkan konsep perpaduan kebangsaan. Itulah inovasi besar yang dilakukan di peringkat negara mulai tahun 1970-an. Itulah rancangan pembangunan yang bercorak ‘rakyat-oriented’ dan dan tidak hanya ‘market-oriented’ atau ‘market-driven’.

27. Malangnya, visi itu ‘dimusnahkan’ mulai tahun 1980-an. Ekonomi negara tidak lagi pro-rakyat tetapi ‘pro-corporatism’ (meminjam istilah Schumpeter). Ekonomi dan segala institusi sosial diswastakan atau dikorporatkan. Wang mulai mewarnai pembangunan. Pembangunan tidak lagi berjaya mencipta kemakmuran untuk semua. Ia ditentukan menurut kehendak ‘kuasa pasaran’. Saya mungkin agak berlebihan dalam penghuraian ini tetapi itulah keadaan yang terkumpul dalam masa kira 20 tahun sehingga isinya didedahkan dalam PRU-12. Keadaannya samalah seperti keadaan yang berlaku dalam bidang ekonomi pasaran yang tidak terkawal sebelum berlakunya ‘market crash’ atau krisis ekonomi.

28. Pihak penganjur Seminar ini menggunakan istilah ‘political transitions’ atau ‘perubahan keadaan politik’. Ada orang menggunakan istilah yang lebih dahsyat, iaitu ‘tsunami politik’, iaitu ‘tsunami’ yang melanda UMNO/BN, tetapi belum tentu itu bererti ‘tsunami’ yang melanda negara. Mungkin ‘tsunami’ itu baik untuk rakyat dan negara.

29. Saya melihat adanya korelasi sosial dan moral yang penting antara krisis politik atau ‘tsunami politik BN’ itu dan krisis ekonomi yang sedang kita alami sekarang. Sehubungan ini saya teringat pandangan Clive Kessler yang berkata bahawa ‘social peace in Malaysia depends upon the continuation, and the continuing expectation, of economic growth and prosperity, while economic growth and prosperity depend upon the continuation and assurance of social peace. Hal ini memang benar. Korelasi yang bertimbal balik atau ‘reciprocal’ antara keamanan dan pertumbuhan ekonomi, jika wujud dalam sistem atau ‘model’ pembangunan kita, bererti bahawa kita akan dapat menahan diri daripada kesan buruk lingkaran ‘feedback’ putaran krisis ekonomi. Kita tidak akan melakukan kesalahan yang banyak sehingga boleh menyebabkan seluruh keadaan ekonomi kita runtuh. Jikalau pertumbuhan ekonomi menurun atau gagal, keamanan masih tidak termusnah sama sekali, asal sahaja tahap pertumbuhan ekonomi itu tidak jatuh di bawah paras pertumbuhan yang kritikal, sehingga boleh menyebabkan berlakunya secara serius pengangguran dan bertambah luasnya jurang ketaksamarataan pendapatan antara golongan sosial dalam masyarakat. Misalnya, kadar pertumbuhan yang saya jangkakan bagi tahun 2009 adalah rendah daripada 3% tidak  seperti yang dijangkakan oleh kerajaan. Jika ini menjadi kenyataan,  saya anggap ianya sebagai ‘the tipping point of under performance’ dan ini bererti pada tahap itu ekonomi kita akan jatuh ke dalam ‘feedback loop’ yang sukar dapat kita lepaskan diri daripadanya.

30. Pemimpin-pemimpin kerajaan mendakwa bahawa kita terkubu atau terlindung daripada kesan krisis ekonomi global yang berlaku sekarang dan kita tidak akan mengalami kemelesetan atau resesi. Agaknya mereka mengikuti sikap Pentadbiran Bush yang mengelak daripada penggunaan perkataan R (ecession). Tetapi The National Bureau of Economic Research di A.S. baru-baru ini mendapati bahawa ekonomi A.S. telah mengalami kemelesetan atau resesi menjelang akhir tahun 2007. Sebagai negara perdagangan dan pengeluaran barangan, sedang mengalami kejatuhan dari segi eksport barangan pembuatan dan komoditinya, kelembapan dalam kegiatan ekonomi dalam semua sektor, kejatuhan kadar pelaburan, baik pelaburan asing mahupun pelaburan dalam negeri, dan kadar pengangguran yang kian meningkat. Apakah ini bukan kemelesetan?

31. Sebagai kesimpulan, sesuai dengan persoalan yang akan dibincangkan dalam Seminar ini, kita perlu bertanya: Apakah cabaran krisis ekonomi ini terhadap ‘semangat’ dan daya usaha keusahawanan di negara ini? Apakah  krisis ini merupakan peluang bagi para usahawan untuk terus melakukan inovasi, untuk terus maju dengan menerokai peluang-peluang baru dan menghidupkan semula ekonomi yang sedang mengalami krisis ini melalui proses ‘creative destruction’ seperti yang disebut oleh Schumpeter? Saudara akan berkesempatan membincangkan persoalan ini secara lebih mendalam lagi dalam Seminar ini.

32. Tetapi saya percaya bahawa salah satu cara bagaimana putaran atau ‘cycle’ krisis ekonomi ini dapat kita cegah, supaya tidak akan berlaku lagi di masa hadapan, ialah dengan melihat semula sistem ekonomi pasaran, mengkaji secara kritis dan terbuka, apakah kelemahannya dan mengawal kelemahan itu, dan apakah kekuatannya yang sesuai digunakan di negara ini, lalu kita melakukan suatu inovasi besar-besaran dan radikal, dengan membina suatu ‘model pembangunan’ yang baru, yang bersepadu, yang ‘holistik’ yang tidak hanya bercorak materialistik dan fizikal, tetapi juga berasaskan budaya dan moraliti yang sesuai dengan tradisi bangsa kita yang berbilang kaum, budaya dan agama ini. Bagi saya, pembangunan yang berasaskan budaya – budaya dalam erti katanya yang luas – dapat menjadi benteng yang kuat untuk mencegah berlakunya segala macam unsur destruktif yang boleh datang dari ‘kuasa pasaran’ dan kuasa ekonomi materialistik disebabkan kegagalan kita untuk mengawal dan menguruskan pasaran itu dengan cekap, bersih dan amanah – berpandukan nilai-nilai budaya dan agama kita yang baik untuk semua anggota masyarakat. Dalam proses mencari acuan pembangunan yang baru ini, kerajaan yang baik dan keusahawanan yang kreatif dan inovatif, tetapi tidak ‘destructive’, hendaklah bergerak sebagai satu pasukan yang berani dan ‘people-oriented’, tidak hanya ‘market-driven’ dalam bentuknya yang ekstrim.

 

Sekianlah, wassalam.

 

"Krisis Ekonomi dan Perubahan Politik: Peluang Untuk Perusahaan dan Keusahawanan"

UCAPTAMA OLEH Y.B.M. TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

 

DI SEMINAR KEBANGSAAN SEJARAH KEUSAHAWANAN: PENGAJARAN UNTUK MASA HADAPAN

(Keynote Address at the National Seminar on History of Entrepreneurship: Lessons for the Future)

 

ANJURAN JABATAN SEJARAH DENGAN KERJASAMA PERSATUAN SEJARAH, UNIVERSITI MALAYA

BERTEMPAT DI DEWAN KULIAH A, FAKULTI SASTERA DAN SAINS SOSIAL, UNIVERSITI MALAYA

 

PADA HARI JUMAAT 9 JANUARI, 2009, JAM  9.00 PAGI

 

 

Last Updated on Sep242011