Apr022012
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Najib Lulus Peruntukan Buka Ladang Gaharu Di Kawasan Orang Asli - Tengku Razaleigh

 

GUA MUSANG, 1 April (Bernama) -- Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membuka ladang kayu gaharu di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dalam masa terdekat ini, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata peruntukan permulaan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau mengunjungi Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya Ahad lepas (25 Mac).

 

"Saya menemui Perdana Menteri sebelum saya datang ke majlis ini supaya apa yang saya cadangkan untuk membuka ladang kayu gaharu menjadi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutup Kembara Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 2012, di Padang Awam Pos Brooke, dekat sini, hari ini.

 

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Mohd Sani Mistam, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Ab Aziz Yusof dan Pegawai Pembangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhamad Shukri Ab Aziz.

Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian itu berkata peruntukan itu sebagai permulaan projek dan menyerahkan perkara itu kepada JAKOA untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi berkaitan.

Beliau berkata JAKOA juga perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan tanah untuk tujuan itu.

Ladang kayu gaharu belum dapat ditentukan keluasannya kerana masih dalam kajian bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Risda bagi menentukan lokasi terbaik berhampiran penempatan Orang Asli, katanya.

"Kita berbuat demikian kerana tidak mahu kaum itu terus hidup terpinggir disebabkan hilang punca pendapatan selepas hasil hutan pupus dengan kegiatan pembalakan dan pembukaan peladangan," katanya.

Beliau yakin apabila ladang itu menjadi kenyataan, ia mampu memberi pulangan hasil lumayan kepada setiap Orang Asli yang menjadi ahli koperasi yang akan ditubuhkan nanti dengan setiap orang diberi pemilikan satu saham.

"Kita sudah membuat penelitian mengenai perkara itu dan beberapa syarikat luar negara sudah menunjukan minat untuk membeli kayu gaharu dengan tawaran harga yang tinggi," katanya.

Sumber: Bernama

Link: http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsindex.php?id=656226

 

Last Updated on Apr022012