Apr092012
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Ku Li serah kepada pengundi untuk tentukan pencalonan

SUNGAI BULOH, 8 April — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menyerahkan kepada pengundi di Gua Musang untuk memutuskan sama ada beliau akan mengekalkan kerusi yang disandangnya ataupun sebaliknya.

Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li ini berkata, beliau perlu menghormati pandangan pengundi di kawasannya itu untuk membuat keputusan.

“Kita mesti hormati pandangan pengundi,” katanya lagi yang turut menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan pusat.

Ditanya terdapatnya gesaan daripada pengundi kawasan tersebut yang mahu beliau melepaskan kerusi berkenaan, Ku Li menjelaskan, beliau menghormati setiap pandangan yang dikemukan berhubung perkara itu.

“Ada banyak pandangan berkenaan perkara itu, kita harus hormatinya dan terpulang kepada mereka,” katanya lagi.

Ku Li adalah pemimpin veteran Umno yang tegas  mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di atas transformasi yang dicanang beliau yang menurutnya tidak konsisten.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), turut mendakwa Najib menafikan hak rakyat Kelantan dalam isu royalti minyak.

Malah Ku Li pernah mengakui ekoran tidak mempunyai kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat di dalam Umno menjadi faktor beliau menubuhkan Amanah.

 

Oleh Mohd Farhan Darwis April 08, 2012

Sumber : The Malaysian Insider

link:http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ku-li-serah-kepada-pengundi-untuk-tentukan-pencalonan/