Dec222013
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Perlembagaan Negara dan Ekonomi Bumiputera

Bismillahhirrahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya merasa terkejut apabila menerima jemputan untuk merasmikan Persidangan Agung Tahunan PERKASA Kali Ke 4 ini. Jemputan ini adalah di luar jangkaan saya sama sekali. Apapun, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rekodkan kepada PERKASA terutama kepada Y. Bhg. Dato’ Ibrahim Ali yang telah mengunjungi saya secara peribadi untuk tujuan ini.

2. Saya merasa terpanggil untuk memenuhi jemputan ini kerana kesempatan sebegini tidak sering datang, dan ianya dapat saya manfaatkan, pada hemat saya, untuk memberikan perspektif, (paling tidak sebagai orang lama) untuk kesejahteraan, keharmonian dan kejayaan Malaysia. Saya komited kepada kesejahteraan, kestabilan dan kejayaan Malaysia yang harmonis dan atas dasar ini jugalah saya merasa bertanggung jawab untuk menyatakan pendapat saya yang didasarkan kepada niat baik  semata-mata dan untuk tujuan yang murni.

3. Untuk lebih berhasil, kita memerlukan Malaysia yang bersatu padu, kerana Malaysia yang berpecah belah samada oleh fizik, ideologi dan anutan tidak akan memudahkan perjalanan kita ke depan. Perbezaan pemikiran, pendapat dan pegangan adalah hal yang biasa-biasa saja dan malahan kepelbagaian ini adalah baik seandainya dijaga dan diurus secara benar dan saksama. PERKASA serta NGO-NGO lain yang bergerak dalam konteks yang sama pastinya sangat berpengaruh, signifikan dan boleh menyumbang kepada kesatupaduan ini. Oleh yang demikian, saya berharap agar semua pihak yang bersangkutan, baik yang berada di sini ataupun tidak, mengorbankan sedikit masa untuk berfikir sejenak mengenai apa yang akan saya katakan pada hari ini.

4. Hadirin hadirat sekalian, tema perhimpunan kali ini adalah ‘Mendaulatkan Perlembagaan Negara & Agenda Ekonomi Bumiputera:  Sejahtera Untuk Semua”.  Tema ini sentiasa tepat, relevan dan perlu untuk diangkat dalam keadaan apa pun. Dalam keadaan tenang, kita bahas untuk membangunkan program bagi mengisi hasrat yang tersurat dan tersirat. Sebaliknya dalam keadaan yang sedikit tegang (tense), kita perlu bahas untuk menyemak kembali  perlakuan kita yang telah lepas dan yang perlu kita utamakan, iaitu perlakuan dan tindakan kita ke depan berdasarkan prinsip, hasrat dan semangat perlembagaan kita.

5. Izinkan saya untuk mengajak agar kita buka sejarah dan meneliti kembali perkembangan serta proses yang kita lalui dalam merangka perlembagaan kita sebagai prakat kepada kemerdekaan kita. Sebelum saya meneruskan dengan catatan sejarah ini, ada beberapa perkara yang harus dipertegaskan terlebih dahulu:

  1. Perlembagaan negara adalah didasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Oleh itu perbahasan mengenai sejarah ini diawali dengan Sejarah Perlembagaan Tanah Melayu.
  2. Kronologi proses penggubalan perlembagaan Negara bermula seawal tahun 1905 lagi dengan tertubuhnya badan perundangan yang dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Persekutuan. Namun dalam konteks ini fokus akan diberikan kepada beberapa tahun terakhir atau mulai pada 1946 (Malayan Union) sehinggalah tergubalnya perlembagaan iaitu pada 1948, 1957 dan 1963.
  3. Perkara-perkara yang relevan dan ditekankan adalah yang dalam konteks perjumpaan kita pada hari ini.  (iaitu berkaitan dengan Perkara 3,  Perkara 14,  Perkara 32, Perkara 149, Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.)

Perlembagaan Negara

6. 1948 adalah titik sejarah yang penting dalam perjalanan Negara kita. Pada tahun tersebut, tepatnya pada 21 Januari, 1948, Raja-Raja Melayu dan Sir Edward Gent selaku wakil Kerajaan British, menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Perjanjian ini memansuhkan  Malayan Union, (yang sebagaimana kita maklum ditentang hebat oleh orang Melayu) dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah persekutuan bersama-sama dengan Melaka dan Pulau Pinang yang kekal sebagai tanah jajahan. Perjanjian ini juga mengembalikan kedudukan Raja-Raja Melayu dan mengarah kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang dirasmikan pada 1 Februari 1948.

7. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mula dirangka seawal Julai 1946 apabila satu Jawatankuasa Kerja yang dianggotai oleh 4 wakil Raja-Raja Melayu, 2 wakil UMNO dan 6 pegawai British, dibentuk. Pada tahun 1947, British juga menubuhkan Jawatankuasa Perundingan yang dianggotai oleh wakil masyarakat Eropah, Cina dan India di Tanah Melayu untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai perlembagaan ini.

8. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Undangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Persekutuan. Raja-Raja Melayu diberikan semula hak dan kuasa memerintah tetapi dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Undangan Negeri. Orang Melayu pula diberi hak keistimewaan sebagai kaum bumiputera dan mempunyai perwakilan terbesar dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

9. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1948, kedaulatan Raja-Raja Melayu dipertahankan (walaupun tanpa kuasa mutlak),  dan syarat kewarganegaraan diperketat bagi menjaga hak keistimewaan orang Melayu.

10. Perlembagaan Persekutuan 1948 ini sebenarnya telah menjadi titik tolak kepada perpaduan antara kaum yang merupakan syarat untuk kemerdekaan kita. Semangat, kerjasama dan kesepakatan yang ditunjukkan oleh tiga kaum utama, sehingga tergubalnya perlembagaan ini, serta kerjasama dalam mentadbir Negara, ekoran daripada pilihanraya pertama pada 1955 meyakinkan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sikap ini jugalah yang membawa kepada perbincangan dua hala (Rundingan London)  antara Tanah Melayu dan British ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

11. Pada tahun 1956, Suruhanjaya Reid ditubuhkan untuk melihat semula Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan menyediakan laporan sebagai asas untuk menggubal perlembagaan persekutuan (1957) yang baru. Suruhanjaya Reid, yang mengambil kira pandangan orang Melayu dan bukan-Melayu akhirnya membentuk kesepakatan yang dipersetujui oleh semua kaum secara bersama. Melalui kesepakatan ini, hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera (terutama dalam ekonomi dan pendidikan), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dilindungi oleh perlembagaan.  Perlu kita ingat bahawa hak keistimewaan ini tidak menyangkal hak kaum-kaum yang lain. Di samping itu kita juga harus ingat bahawa Suruhanjaya Reid jugalah yang mencadangkan secara serius hak-hak istimewa orang Melayu ini atas dasar perkembangan sejarah sebelum dan sebagai pra syarat kepada keharmonian dan perpaduan kaum yang akan menjamin kestabilan negara. Perlu kita ingat bahwa kestabilan yang kita nikmati inilah yang memungkinkan kita untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan kehidupan kita sehingga berada pada tahap sekarang. Perkembangan sebegini tidak mungkin kita semua (tanpa mengira kaum) kecapi seandainya Negara dilanda krisis perpaduan dan kestabilan Negara kita tergugat.

12. Dengan penubuhan Malaysia pada 1963, perlembagaan  baru digubal dan asas kepada perlembagaan ini adalah Perlembagaan 1957  dengan memasukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan anggota baru iaitu Sabah dan Sarawak. Sebagai contoh, kedudukan kaum bumiputera di kedua-dua wilayah ini diberikan status yang sama sebagaimana orang Melayu dan turut dimasukkan dalam Perkara 153. Namun seperti sebelum ini, hak istimewa ini dilindungi dengan tidak menafikan kedudukan yang sah kaum-kaum yang lain.

13. Daripada rentetan sejarah ini, kita telah membuktikan bahawa semangat toleransi, rela berkongsi kuasa, sedia berkorban, persefahaman dan semangat perpaduan yang tinggi antara pelbagai kaum menjadi penyumbang utama dan menjamin kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan terpisah-pisah dari segi kedudukan wilayah dan negeri.

14. Hadirin hadirat sekalian, saya fikir unsur yang saya sebutkan tadi adalah sangat penting untuk difahami oleh semua rakyat Malaysia. Ini adalah merupakan asas kepada pembentukan identiti Malaysia dan memupuk persefahaman pelbagai kaum yang menjadi faktor yang kritikal untuk perpaduan. Kita juga perlu ingat bahawa kewujudannya adalah jauh sebelum Perlembagaan 1957 dan sangat menyumbang kepada kestabilan Negara yang mensejahterakan semua tanpa mengira kaum.

15. Semangat dan kesepakatan ini jugalah yang merupakan tulang belakang kepada hubungan antara kaum di Negara kita dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian.  Oleh yang demikian adalah sangat penting untuk kita semua menjaga sensitiviti antara kaum, dan senantiasa menghormati kesepakatan dan semangat seperti yang ditunjukkan oleh orang-orang terdahulu terutama dalam proses kita mencapai kemerdekaan.  Kita semua bertanggungjawab untuk merealisasikan cita-cita murni dan hasrat nenek moyang kita yang telah berjuang  sebelum ini.  We owe it to them to make good what they fought for.

16. Kita semua maklum bahawa perlembagaan Negara adalah merupakan perundangan yang tertinggi dan mengubah isi kandungannya bukanlah suatu perkara yang mudah.  Perkara-perkara yang menjadi inti kepada perjuangan PERKASA iaitu berkisar kepada hal ehwal Melayu dan Islam, adalah diperuntukkan oleh perlembagaan dan oleh yang demikian, selagi komposisi, pengaruh politik dan masyarakat Malaysia berada pada tahap yang sama, hak ini, pada hemat saya, akan terpelihara.

17. Memetik kata-kata sebelum ini bahawa hak dan keistimewaan orang Melayu disepakati oleh semua dan menjadi asas kepada perpaduan kaum harus difahami benar dan dipertahankan. Ianya tidak boleh diganggu gugat, kerana keharmonian dan kestabilan yang dihasilkan, apabila dipertahankan dan diperkukuhkan akan memberikan kesejahteraan kepada semua kita tanpa mengira kaum.

Perkembangan dan persepsi semasa PERKASA

18. Hadirin dan hadirat sekalian, tanpa berselindung, dukacita saya katakan PERKASA hari ini membawa konotasi yang tidak baik. PERKASA dianggap ultra, radikal, rasis dan tidak bertanggungjawab oleh setengah masyarakat bukan-melayu dan lebih mendukacitakan diremehkan, atau diperlekehkan oleh masyarakat Melayu yang seharusnya merupakan masyarakat yang dibela oleh PERKASA. Lebih parah, PERKASA dilihat sebagai pemecah perpaduan kaum yang selama ini menjadi tunjang kestabilan Malaysia. Inilah persepsi yang cukup negatif dan mudah-mudahan ianya hanya dari perspektif  golongan yang ekstrim, berkepentingan atau bias (berat sebelah). Terdapat juga persepsi yang meletakkan PERKASA di tahap nilai yang tinggi dan mengagumi kewujudannya. Namun, persepsi sebegini tidaklah sebanyak atau semarak persepsi yang negative tadi. Apa pun, saya saran agar kita tidak usah berdebat mengenai benar atau tidak persepsi ini. Lebih-lebih lagi perkara ini adalah merupakan sesuatu yang subjektif. Tidak ada kebenaran yang mutlak, dan benar atau tidak, adalah terletakhak kepada setiap yang menilai.  Sebaliknya, saya lebih suka untuk mengajak agar kita semua berfikiran positif dan melihat keadaan ini sebagai indikator atau cabaran agar kita lebih wujud (exist) dan manfaat kewujudan kita dirasakan oleh semua masyarakat Malaysia.

19. Dua tiga hari yang lepas, saya difahamkan bahawa kesediaan saya untuk hadir di majlis hari ini, telah mendapat liputan yang bercampur baur. Banyak yang menganggap bahawa kredibiliti dan integriti saya akan tergugat dan tercalar apabila saya hadir di majlis ini. Tanggapan ini adalah didasarkan kepada persepsi PERKASA seperti yang saya sebutkan tadi sementara saya dilihat sebagai seorang veteran yang kontemporari, liberal dan mempunyai pemikiran yang amat bertentangan dengan pendirian PERKASA. Apa pun saya penuhi jemputan ini tanpa prejudis kerana saya bertanggung jawab untuk menyuarakan pendapat dan pemikiran saya kepada kumpulan apa dan di mana sekalipun kerana tujuan dan impian saya jelas, iaitu menyumbang kepada kesejahteraan, kelangsungan, dan kejayaan Malaysia yang kita semua kasihi dan harmonis ini.

20. PERKASA hari ini sudah mempunyai ramai anggota dan saya berharap agar setiap anggota PERKASA mengetahui dengan jelas dan faham benar rasional dan tujuan penubuhan serta keberadaannya. Ini sangat penting supaya setiap anggota jelas dengan sebarang tindakan yang dibuat yang harus mempunyai dasar serta asas yang kokoh. Kita tidak mahu oleh kerana tindakan/perlakuan segelintir anggota yang tidak menepati aspirasi ini akan merosakkan imej keseluruhan pertubuhan. Jikalau ditimbang secara halus, persepsi negatif yang berkisar adalah tidak selaras dengan semangat dan tujuan penubuhan PERKASA. Malah persepsi negatif ini adalah bertentangan sama sekali dan menyangkal hasrat PERKASA untuk wujud sebagai pemangkin perpaduan di Malaysia. Mungkin kita perlu bertanya kepada semua, kenapa terjadi ‘mis-match’ yang separah ini? Apakah ianya terjadi kerana propaganda yang dimainkan oleh kelompok yang tidak suka dengan keberadaan PERKASA ataupun disebabkan oleh tingkah laku, sikap atau pertuturan anggotanya? Saya tidak ingin menjawab persoalan ini, tetapi saya mohon agar kita “semua tepuk dada dan tanya selera”, berfikiran positif dalam penilaian kita dan ambil tekad untuk berbuat sesuatu yang akan mengubah keadaan supaya menjadi lebih baik dan sesuai dengan hasrat murni kita semua.

21. Saya ingin menyarankan agar setiap anggota menjaga disiplin yang tinggi dan melihat sesuatu isu atau perkara yang timbul dengan lebih mendalam berdasarkan hak atau fakta dalam semangat kesepakatan dan bukannya emosi yang dipacu lebih-lebih lagi apabila kita berkelompok.  Dengan kata yang lain, kita perlu tegas dalam mengambil sikap dan pendirian yang didasarkan kepada fakta yang jelas dan pasti sesuai dengan undang-undang dan perlembagaan kita. “Benefit of the doubt” serta penghujung atau hasil jangka panjang dari tindakan kita, wajar diberikan dalam sebarang pertimbangan sebelum membuat apa-apa keputusan.  Kita tidak boleh cepat marah dan melenting, tetapi seandainya kita harus marah, ianya perlu di dasarkan kepada perkara yang hakiki dan mutlak. Ingat kisah Saidina Ali dalam satu peperangan, beliau tersangat hampir untuk membunuh musuh, tetapi membatalkan hasratnya kerana perasaan beliau pada waktu itu didorong oleh marah dan bukannya keperluan perang atau ‘hak’.

Saranan dan Kesimpulan

22. Hadirin dan hadirat sekalian, mendaulatkan perlembagaan bukan hanya sekadar mempertahan tetapi mengisi dan memperkasakan lagi dengan lebih proaktif. Tindakan yang afirmatif pernah dan sedang dibuat tetapi perlu diperkembangkan lagi. Matlamat utama yang harus kita sasarkan ialah dengan meletakkan orang Melayu sebagai kaum yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dan mampu bersaing tanpa dibantu kerajaan. Program yang khusus perlu disusun supaya pelaksanaan dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sekaligus menjamin keberhasilannya. Dengan cara ini Melayu akan lebih merdeka, kompeten dan tidak akan ditelan oleh badai globalisasi. Sedikit demi sedikit, budaya subsidi perlu kita hakis dan mengangkat kemampuan orang Melayu untuk berdiri di atas kaki sendiri.

23. Perkembangan terbaru mengenai penglibatan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan korporat yang sampai kepada pengetahuan saya, cukup membimbangkan. Izinkan saya untuk merekodkan beberapa perkara yang saya fikir cukup untuk mencemaskan kita

  1. Hari ini, bilangan “key-personnel” dari kalangan orang Melayu di sektor korporat menurun dengan sangat signifikan.
  2. Syarikat dan industri yang diasaskan oleh FELDA sudah berkembang luas dan jumlah dagangan mereka adalah besar sekali. Namun, mendukacitakan apabila syarikat ini belum lagi dapat diterajui oleh orang Melayu/bumiputera.
  3. Industri produk halal yang besar juga difahamkan dikawal oleh orang bukan Melayu/bumiputera, dan
  4. Sangat mendukacitakan apabila pemilik asal beberapa syarikat orang Melayu yang sudah berjaya seperti (Produk Orang Kampung dan Aminah Hassan?) akhirnya menjadi pekerja kepada pemilik syarikat yang baru.

24. Perkembangan-perkembangan ini tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau pun hak orang Melayu yang dinafikan, tetapi lebih merupakan masalah orang Melayu yang tidak mampu bertahan dalam saingan dan kesulitan alam perniagaan yang semakin kompleks. Atas dasar dan perkembangan sebeginilah, saya merasakan wajar untuk diperjuangkan agar masyarakat Melayu Malaysia lebih berdisiplin, dilatih dan diberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan yang membolehkan kita bertahan dan bersaing dengan siapa pun dan dalam keadaan apa pun dan dengan berbagai-bagai peluang dan kemudahan serta bantuan,  masyarakat orang Melayu dan bumiputera tidak boleh menyalahkan orang lain kalau mereka masih tidak berjaya. Kita mungkin tidak mempunyai terlalu banyak masa lagi, kerana persaingan dalam era ini tidak mengenal batas geografi dan sentiment.

25. Banyak yang boleh diperbuat untuk mengangkat dan memartabatkan orang Melayu dan bumiputera yang sebahagian besar masih berada di strata bawah dalam struktur ekonomi. Pelaksanaan aktiviti ekonomi berkelompok dan terkoordinasi (samada secara two-party atau tri-partite) akan mengarah kepada keadaan win-win, dan membolehkan kita mencapai Negara berpendapatan tinggi dengan lebih menyeluruh dan cepat, sekiranya perkembangan ekonomi dipacu oleh daya pengeluaran yang meningkat dan rakyat menikmati pendapatan yang agak tinggi samada mereka ini petani, penangkap ikan, penoreh getah atau pekerja ladang dengan pelaksanaan gaji minimum dalam suasana bebas dan aman. Kita mesti menggembelengkan tenaga dan pemikiran kita agar lebih kreatif dan inovatif dalam sebarang pelaksanaan, mengangkat kecekapan dan keberkesanan yang akan meletakkan kita di tahap yang lebih baik dan mampu untuk bersaing.

26. Untuk masa akan datang, kesamarataan dalam penguasaan ekonomi, pada hemat saya, adalah merupakan kunci kepada perpaduan kaum di Malaysia. Keseimbangan dalam aspek ini akan menyegarkan perpaduan dan sebaliknya jika kesenjangan dalam tahap penguasaan ekonomi semakin melebar, perpaduan ini mungkin tergugat, mengganggu kestabilan Negara dan menghambat kesejahteraan ekonomi dan kehidupan.

27. Hadirin dan hadirat sekalian, PERKASA hadir untuk menjaga kepentingan orang Melayu yang sinonim dengan Islam (paling tidak satu waktu dulu). Perkara-perkara yang diperjuangkan oleh PERKASA juga berkisar kepada hal-ehwal yang bersangkutan dengan dua elemen ini yang kita semua sepakat menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan Malaysia yang berbilang kaum. Saya sanjung hasrat mulia dan niat baik ini, tetapi saya mohon agar pendekatan yang diambil lebih bersifat terbuka. Dalam kita mempertahankan hak yang termaktub dalam perlembagaan, kita harus lebih berani untuk memperkasakan agar keberadaan orang Melayu dan Islam utuh, hebat dan mantap sehingga peruntukan penjagaan dalam perlembagaan tidak perlu kita pakai dalam kita bersaing.

28. Perselisihan antara sesama kita akan senantiasa muncul (inevitable) dan menghindarinya, pada saya adalah hampir mustahil. Yang lebih penting ialah bagaimana kita menangani apabila ianya muncul. Saya yakin pendekatan yang kolektif dan objektif akan menyelesaikan sebarang permasalahan dan positifnya, kita dapat melahirkan bangsa Malaysia yang lebih hebat dan kukuh hasil dari pengalaman-pengalaman ini. Di samping itu sesuatu masalah yang timbul mungkin saja di picu (trigger) oleh sesuatu yang tidak disengajakan atau tanpa niat buruk. Oleh itu sikap maaf dan memaafkan adalah wajar, dan saya fikir sikap memaafkan ini sangat penting untuk mempastikan kelangsungan perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Dendam kesumat yang bersemadi dalam budaya masyarakat perlu dikikis kerana tidak membawa kepada apa-apa kebaikan.  Ingat kata-kata “kindness begets kindness”, “what comes around goes around”.

29. Malaysia berdiri pada 1963 dan selama 50 tahun ini semua kaum di Malaysia dapat menjalani hidup yang baik sesuai dengan tuntutan kelompok mereka masing-masing. Ini adalah manifestasi bahawa kita mampu untuk bersama-sama berganding bahu hidup dalam keadaan yang aman, damai dan sejahtera serta menyumbang ke arah perpaduan, keharmonian dan kestabilan Negara. Jadi tidaklah begitu susah untuk kita mempertahankan ini. Banyak pelajaran dan pengalaman yang kita lalui yang akan membantu kita dalam proses ini selama kita jujur dengan semua.

30. Saya sangat-sangat berharap untuk melihat PERKASA berdiri sebagai satu pertubuhan yang kekal berwibawa, bermaruah, dihormati, disegani dan disanjungi kawan serta digeruni lawan. Janganlah kita biarkan persepsi semasa di mana pertubuhan ini dibenci, diremehkan, dimomokkan, dan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab, berlanjutan. Buatlah perubahan-perubahan yang perlu yang boleh dan akan memberikan kegemilangan kepada pertubuhan ini.

31. Hadirin hadirat  sekalian, kita semua bertanggung jawab untuk memupuk perpaduan yang wujud yang menjadi tunjang kepada kestabilan Negara dan membolehkan semua warganya menikmati kedamaian dan kesejahteraan. Ingat, perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati ini adalah merupakan sesuatu yang kita warisi dari nenek moyang kita, namun kita tidak boleh berbuat sesuka hati kita kerana ia juga merupakan amanah yang kita harus pikul agar sentiasa segar, tumbuh dan terus kukuh untuk dinikmati oleh anak cucu kita.

32. Sekian, terima kasih dan dengan lafaz BISMILLAHHIRRAHMANNIRRAHIM, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Persidangan Agung PERKASA Kali Ke-4 ini.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ucapan Perasmian oleh Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah
di Persidangan Agung Tahunan PERKASA Kali Ke-4 Pada Hari Ahad, 22.12.13, Jam 9.30 Pagi, Bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.
Last Updated on Dec222013