Mar232014
PDFPrintE-mail
Tengku Razaleigh Hamzah

Wanita Kelantan

1. Sebagai orang yang berasal dari Kelantan, saya fikir ada baiknya (perlu) untuk saya menjustifikasikan  perbahasan mengenai wanita Kelantan yang di anggap unik, istimewa, hebat, cekal dan sebagainya. Dengan cara ini, saya dapat mengelak dari sikap bangga diri (syok sendiri) (narcist) kerana ke-Kelantanan saya dan sekali gus menjawab persoalan yang mungkin timbul seperti “apa lebihnya wanita Kelantan” dan sebagainya.

2. Para hadirin hadirat sekalian, keunikan, kehebatan dan keistimewaan wanita Kelantan sering kita dengar dan dibahas dari masa ke semasa oleh kedua-dua golongan masyarakat; dari Kelantan mahupun dari luar Kelantan. “Google” sahaja ‘wanita Kelantan’, dan kita pasti akan menemukan banyak sekali perbahasan berkaitan dengannnya. Disamping itu, seandainya kita meneliti kepada sejarah dan  keunikan wanita Kelantan, kita pasti akan menemui catatan penting yang menjadi historical landmark kepada perbahasan mengenainya. WA Graham, seorang diplomat British, mengupas perkara ini melalui buku beliau, “Kelantan: A State of The Malay Peninsular”, yang menyerlahkan ketabahan, kehebatan, keistimewaan serta keunikan dan kecekalan wanita Kelantan. Sebagai contoh, paparan dan huraian mengenai aktiviti wanita Kelantan yang berjual beli sambil duduk, sebagai satu keadaan yang unik dan berbeza sekali. Paparan ini melambangkan kecekalan mereka dan ianya kekal sehingga sekarang dan menjadi budaya di kalangan wanita Kelantan yang berniaga di pasar-pasar.

3. Di samping itu, W.A. Graham, juga secara implisit menyatakan bahawa wanita Kelantan lebih maju berbanding dengan wanita-wanita lain termasuk yang di Barat.  Menurut beliau, walaupun dengan kedudukan Kelantan sebagai ‘Negeri Serambi Mekah’, yang berpegang kuat kepada agama, wanita Kelantan bebas menjalani kehidupan seharian, berjual beli dan bertani dan mempunyai peranan yang signifikan dalam ekonomi rumahtangga dan negeri. Raymond Firth, seorang ahli anthropologi, mengukuhkan persepsi ini melalui hasil dari kajian beliau. Hasil dan kesimpulan ini beliau muatkan dalam buku yang berjudul, “Malay Fishermen: Their Peasant Economy”. Dalam banyak keadaan, wanita Kelantan menjadi ‘banker’ atau ‘financial controller’ kepada keluarga mereka. Yang lebih unik, peranan sebagai banker ini bukan hanya dikalangan wanita yang bekerja, tetapi juga dikalangan suri rumah tangga. Suami-suami mereka akan membawa pulang wang gaji dan menyerahkan kepada isteri untuk diurus, sehinggakan menjadi kebiasaan bagi seorang suami yang menafkahi keluarga (breadwinner), meminta wang belanja dari isteri mereka.

4. Kenyataan yang sama juga diutarakan oleh Profesor Ingrid Rudie, seorang pakar anthropologi yang membuat kajian mengenai wanita Kelantan. Pada 1965 apabila beliau menyelesaikan kajian pertamanya, beliau menyatakan bahawa walaupun pergerakan feminist barat belum kemana dalam perjuangan mereka, wanita Kelantan sudah berada di tengah masyarakat memainkan peranan yang penting dalam ekonomi dan urusan masyarakat setempat. Wanita Kelantan dilihat sebagai memiliki, membeli dan menjual tanah, terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil pertanian dan ekonomi lain serta mendominasi perniagaan di pasar-pasar (dominated bazaar trade). Dalam buku beliau, “Visible Women in East Coast Malay Society”, beliau juga merekodkan kegigihan wanita Kelantan dalam fungsi mereka sebagai, isteri, ibu, wanita bekerja dan wanita yang berperanan penting dalam masyarakat.

5. Keunikan wanita Kelantan turut diakui oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia melalui beberapa kajian mereka. Dalam satu kajian yang dilaksanakan di satu kampong nelayan di Tumpat, mereka kagum dengan kegigihan kaum wanita yang aktif membantu dan bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

6. Hadirin hadirat  sekalian, adat dan resam ini lebih mirip kepada adat dan resam yang berlaku di Siam, Kemboja dan Burma. Wanita-wanita di sana juga cekal dan gigih dalam perniagaan dan urusan kehidupan seharian mereka. Catatan dalam satu buku menggambarkan bahawa wanita dilihat sebagai “men in charge of boats on the Menam”, atau dalam erti kata yang lain, kelompok yang mendominasi perniagaan di pasar terapung Sungai Menam Chao Phraya. Wanita ini gigih dalam urusan perniagaan dan kehidupan mereka atas dorongan kesulitan dan kesempitan hidup yang mencengkam kehidupan dan masyarakat mereka. Dalam konteks ini, mereka memilih untuk tidak berdiam diri dan membiarkan golongan lelaki mereka sahaja yang berusaha, bekerja untuk memenuhi keperluan hidup. Sikap ini sedikit sebanyak dikongsi oleh wanita Kelantan, dan daripada satu catatan, yang membezakan mereka hanyalah gaya wanita Kelantan yang bertudung atau ‘berkelubung’, sebagai memenuhi tuntutan agama, tetapi masih bebas beraktiviti tanpa dikongkong oleh kaum lelaki.

7. Daripada catatan dan pemerhatian ini, kita boleh berbangga dengan keadaan yang wujud dan pasti akan dapat merasakan kehebatan wanita Kelantan. Apa tidak, mereka sudahpun menikmati kebebasan yang merupakan sesuatu perkara yang dituntut dan diperjuangkan oleh wanita barat.

8. Suka saya mengingatkan bahawa sikap unik yang wujud dikalangan wanita Kelantan ini juga wujud di kalangan wanita-wanita lain. Namun demikian, sikap ini dianggap luarbiasa di tempat yang lain tetapi merupakan suatu kebiasaan dikalangan wanita Kelantan.  Dalam erti kata yang lain, sikap sebegini dimiliki oleh kebanyakan wanita Kelantan, tetapi sebahagian kecil sahaja wanita lain memilikinya. Sebagai contoh, majoriti peniaga yang berniaga di Pasar Siti Khadijah dan pasar-pasar lain di Kelantan adalah terdiri dari kaum wanita, dan hakikat ini dengan sendirinya membuktikan kenyataan tersebut. Kita harus ingat bahawa Pasar Siti Khadijah adalah merupakan  ikon Kelantan, sehingga pernah tercatat bahawa kunjungan ke Kelantan tidak akan lengkap seandainya tidak ke pasar ini. Penamaannya adalah manifestasi kepada kepentingan peniaga wanita Kelantan yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.

9. Para hadirin hadirat sekalian, daripada pemahaman dan pengamatan saya, terdapat beberapa fakta yang wujud dan menyumbang kepada keunikan, keistimewaan dan kehebatan wanita Kelantan yang menyerlahkan mereka atau memberikan ‘prominence’ kepada mereka. Antaranya, ialah keseimbangan dan peranan mereka dalam konteks keberadaan kaum lelaki Kelantan. Terdapat persepsi yang mengatakan bahawa lelaki Kelantan malas, dan ini memaksa wanita atau isteri mereka untuk menjadi ‘ketua’ keluarga, bekerja mencari rezeki dan memenuhi keperluan hidup keluarga. Dalam konteks ini, unik, hebat, gigih, berani dan sebagainya wanita Kelantan, adalah relatif kerana kekurangan dan kelemahan lelaki Kelantan dalam memainkan peranan mereka.

10. Kenyataan ini menghina (reduces/insulting) lelaki Kelantan dan saya sebagai salah seorang yang terkait tidak suka dengannya tetapi terpaksa menerima kerana sememangnya terdapat lelaki Kelantan yang begitu, sikapnya. Kita sering dipaparkan dengan gambaran mengenai kegigihan wanita Kelantan berniaga dan bercucuk tanam sedangkan suami mereka lepak, di warong-warong, menghabiskan waktu dengan aktiviti yang tidak bermanfaat dan tidak menepati keutamaan. Ianya sesuatu yang sangat ketara suatu waktu dahulu, walupun berkurang sekarang, masih wujud dalam masyarakat Kelantan.  Keadaan ini pernah dibahas dalam beberapa forum oleh pemimpin negeri termasuklah bekas Menteri Besar sendiri yang pernah mengeluarkan kata-kata pedih menyindir lelaki Kelantan yang malas bekerja dan tidak bertanggung jawab ini. Malahan seorang pemimpin masyarakat memberikan analogi yang cukup ekstrim dengan menyamakan lelaki Kelantan dengan ‘Bapa Ayam’ yang hanya suka berseronok (main aji dan dam serta menghabiskan masa di kedai kopi) dan urusan menjaga anak; mencari makan dan sebagainya dipikul oleh ‘íbu ayam’semata-mata.

11. Terdapat juga perspektif yang menyatakan secara eksplisit mengenai kebanggaan wanita Kelantan yang sanggup untuk bekerja demi menanggung suami mereka yang tidak bekerja. Sikap begini juga mendorong wanita Kelantan menjadi gigih, berani dan cekal memberikan keunikan kepada keseluruhan mereka.

12. Hadirin dan hadirat, sama juga dengan kenyataan yang saya buat sebelum ini, keadaan ini bukannya tidak wujud di negeri-negeri lain tetapi ianya secara relatif lebih ketara di Kelantan sehingga mewatak dan mencirikan wanita Kelantan dengan sedemikian rupa.

13. Apabila kita teliti kesemua perspektif dan perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap, karekter dan ciri-ciri wanita Kelantan, kita akan terpanggil untuk melihat dari sudut pandang genetic, psikis dan budaya yang terbentuk oleh pengaruh yang di bawa atau ditinggalkan oleh nenek moyang mereka. Dalam konteks ini, pemerintah yang namanya sinonim dengan Kelantan, iaitu Cik Siti Wan Kembang boleh dianggap sebagai kemuncaknya. Sejarah membuktikan bahwa beliau sememangnya hebat dan terserlah, kerana dari banyak Raja dan pemerintah yang memerintah Kelantan, Cik Siti Wan Kembang adalah merupakan yang paling tersohor dan pemerintahan beliau yang menurut salah satu sumber sejarah melangkaui 50 tahun yakni dari 1610 sehinggalah 1667. Semangat dan sikap beliau yang berani dan wujud untuk tempoh yang lama, membentuk ciri dan membudaya dalam masyarakat sehingga tercurah dan diwarisi oleh generasi wanita Kelantan sehingga kini. Dalam buku “Detik-Detik Sejarah Kelantan”, Cik Siti Wan Kembang dilihat sebagai mempunyai keramat dan merupakan anugerah kepada wanita Kelantan.

14. Para hadirin dan hadirat sekalian, di samping sikap cekal, berani, gigih dan sebagainya, wanita Kelantan dalam aspek kewanitaan yang lain juga dilihat sebagai mempunyai rupa paras yang cantik, lemah lembut, manis dan dari banyak kenyataan, sebagai mudah diajak berbincang. Sama juga dengan pernyataan sebelum ini, kenyataan ini bukanlah atas dorongan bangga diri (syok sendiri) atau narcist, tetapi banyak yang menyatakannya, malah lebih-lebih lagi dari kalangan luar Kelantan. Satu waktu dahulu (mungkin saja masih berlaku sekarang), sering diungkapkan bahawa sesiapa sahaja yang bekerja di Kelantan akan akhirnya beristeri dengan wanita Kelantan. Kononya, rupa paras dan sikap kewanitaan ini akan benar-benar membuatkan lelaki yang berinteraksi dengan mereka patah atau jatuh hati kepada mereka.  Malahan satu waktu dahulu saya pernah mendengar anecdote mengenai “SKMK” dikalangan orang lelaki di Kelantan. Kononya apabila orang dari luar Kelantan, apabila Sampai di Kelantan Mesti Kahwin dengan wanita Kelantan.

15. Sikap, karekter dan semangat yang membentuk ciri-ciri wanita Kelantan adalah sangat membanggakan, terutama apabila dilihat kepada positifnya. Namun, kita tidak boleh alpa dan membangga diri kerana sikap dan kehebatan ini, seandainya ditunjukkan atau dijelmakan dalam keadaan yang tidak baik akan membawa padah. Sebagai contoh, kecekalan, keberanian, kenekatan dan malahan kebebasan yang dimiliki oleh wanita jugalah yang menguatkan tekad mereka untuk ‘berdikari’ dan kekuatan ini telah menyumbang kepada keruntuhan rumahtangga yang secara realtif, tinggi di Kelantan. Oleh yang demikian, sikap unik, hebat dan istimewa ini perlu dipupuk dan dijaga supaya ia berperanan untuk mempertahankan kesusilaan dan keharmonian sehingga mampu mengangkat dan menambah baik perkara-perkara yang negatif dan melemahkan masyarakat.

16. Hadirin hadirat sekalian, pada kesempatan ini, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rekodkan kepada PUSPA kerana telah sudi menjemput saya untuk melancarkan buku Biografi Tokoh Wanita Kelantan Jilid 1 pada hari ini. Saya menyanjung tinggi usaha PUSPA, dan syabas dan tahniah saya ucapkan di atas usaha dan kejayaan menerbitkan buku ini. Pelancaran buku Biografi Tokoh Wanita Kelantan pada hari  ini adalah satu permulaan yang baik dan saya difahamkan akan menjadi permulaan kepada beberapa siri atau edisi lagi yang akan diterbitkan pada masa hadapan.

17. Kejayaan tokoh-tokoh ini dalam banyak lapangan wajar diabadikan dan akan merupakan sumber bacaan penting yang akan memberi inspirasi dan motivasi kepada generasi muda kita dalam usaha mereka meraih kejayaan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

18. Para hadirin dan hadirat sekalian,  dengan segala sukacita dan bangganya dan dengan lafaz “BISMILLAH” saya lancarkan buku yang berjudul “Biografi Tokoh Wanita Kelantan” Jilid Satu.

 

Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Ucapan oleh

Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah semasa Melancarkan Buku Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan (PUSPA)

Pada Hari Sabtu, 22.3.14, jam 11:00 pagi

Bertempat Di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Last Updated on Mar252014