Sep212011
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Undilah! - Hak Anda

Sebuah Projek Kesedaran Sosial berbentuk Video Musik oleh Pete Teo demi menggalakkan tanggungjawap Mengundi (www.undilah.com)

Lagu ini dipersembahkan oleh Afdlin Shauki, Namewee & Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai anak Malaysia termasuklah @Aisehman, Baki Zainal, Bront Palarae, Chelsia Ng, Daphne Iking, Jehan Miskin, Johan F. Khairuddin, Karamjit Singh, Lai Ming, Lee Chong Wei, Nurul Izzah Anwar, Rosnah Abd Rashid Shirlin, Rina Omar, Reshmonu, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Reza Salleh, Tengku Azmil Zahruddin, Tony Fernandes, Wardina Safiyyah, Wee Ka Siong, Yasmin Yusuf, Albert Law, A. Kohilan Pillay, Jason Lo, Mohan, Khalid Samad, Aizat Amdan, Tee Hui Ling, Usha Nandhini, Chia Ting Ting, Nur Farina, Sassi Tharan Rajoo, Nik Nazmi, Tony Pua & David Lai.

 

Dim lights Embed Embed this video on your site

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Undilah! Jangan tidur, jangan diam

oleh FARUSH KHAN

9/21/2011 8:15:37 AM

link:http://www.sinarharian.com.my/sh/kolumnis/content.asp?ID=449

 

Rose Rose nyawaku, itulah dia. Jalan timing mambo, cukup bergaya. Lain dari saya orang tak berani rapat. Banyak sudah cuba tapi tak dapat...

Anda ingat lagu penuh jenaka yang menjadi hit di tahun 50an ini? Ya, lagu empat bahasa (Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris); penyanyinya Datuk Zainal Alam (moga Allah cucuri rahmat ke atas roh Allahyarham).

Zainal Alam sangat popular dengan lagu-lagu seperti bertema durian dan susu, tetapi seperti anda, saya lebih ingat mengenai pegawai/pengacara RTM ini kerana lagunya “Undilah”. Saya dan rakan-rakan sebaya mendengar lagu itu dari radio dan corong pembesar suara yang dibawa atas lori dan van sekeliling kampung dan bandar semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) pada 27 Julai, 1955 dan hingga hari ini saya ingat sebahagian liriknya. Bunyinya:

“Undilah puan dan tuan

27 hari bulan

Pilihan raya yang pertama

Pergilah, undilah bersama-sama.”

Memang adat manusia itu pelupa. Jika hari ini anda dan saya ditanya apakah warna baju yang kita pakai tiga hari lalu, saya kira ramai antara kita terkelip-kelip cari jawapannya. Namun ada peristiwa, perkataan dan sesuatu yang kita pasti akan ingat sampai mati.

Di samping Zainal Alam dan lagunya, saya juga ingat beberapa peristiwa lama; buat pertama kali dalam hidup saya diberi peluang oleh petugas parti, naik kereta - Morris Minor hitam - ikut ibu buang undi di sekolah yang terletak 3 kilometer dari kampung saya. Saya ingat banyak nampak gambar kapal layar, bendera Parti Perikatan.

Satu lagi yang saya ingat dengan jelas ialah lagu yang liriknya berbunyi:

16 September Malaysia dah jadi;

Semua bangsa bersukalah hati;

Kumpulan ceti bakar bunga api;

Boria Kampung Makam sedia berbakti.

Saya bersama 20 kanak-kanak menjadi ‘sailor’ (nama untuk penyanyi latar) dan menyanyikan lagu ciptaan pemuda kampung atas pentas malam lahirnya Malaysia; 16 September 1965.

Kami tidak tanya siapa bayar nasi kandar yang kami makan, siapa biayai 20 pasang pakaian serupa (baju berkilau warna biru nila, seluar putih dan reben merah kuning di leher dan pinggang) yang kami pakai malam itu.

Macam mana negara yang dulu kami panggil Malaya boleh tiba-tiba jadi Malaysia? Itu lagi susah kami nak faham. Tetapi kami seronok. Malam itu meriah. Peserta boria semua terdiri daripada orang Melayu dan peranakan.

Dalam sketsa (iaitu lakonan) dan ketika nyanyian oleh tukang karang, semua yang disebut baik-baik belaka; merdeka, bersatu, maju...

Balik kepada lagu Undilah. Selepas Zainal Alam, lagu yang sama dinyanyikan oleh penyanyi lain dengan sedikit sebanyak pertukaran perkataan, pastinya tarikh dan tahun PRU diadakan.

Pada 1978, Daud Hamzah membuat sebuah lagu Undilah yang dinyanyikan oleh Surya Booty Boys, Lepas itu ada lagu kempen ciptaan Datuk Johari Salleh dan Datuk Ahmad Dassilah.

Pengarah Musik RTM, Datuk Mokhzani Ismail juga buat lagu Undilah pada 1999 yang didendangkan oleh Liza Aziz.

Pada PRU-12 pada 2008, liriknya ditukar sedikit, sudah pasti antaranya hari bulan (8 Mac) dan negara (Malaysia). Rentaknya dan liriknya diubahsuai dan mempromosikan perpaduan dan menanam semangat patriotik, dinyanyikan oleh Mohd Rauzan Alwi, yang lebih dikenali dengan nama Roy, dalam rentak kawat.

Apa pun, saya rasa lagu ‘Undilah’ untuk PRU-13 tidak kurang daya tarikannya, lebih mencengkam rasa (Masa depan negara kita terletak di tangan kita sendiri, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebelum lagu dimulakan); mesejnya lebih jelas (Negara kita sebuah syarikat dan kitalah bosnya), walaupun disampaikan secara penuh jenaka (Undilah! Jangan tidur...Undilah...Jangan diam diam!).

Itu lagu sebelum PRU-13; rentak hip hop. Selepas ini, entah apa pula bunyi liriknya; entah apa pula rentaknya. Barangkali ala dikir barat? Siapa tahu?

Kalau anda baca Sinar Harian dua hari lalu (19 September), muka depannya terpampang tajuk “PRU 13 11 Feb 12?”

Akhbar harian ‘telus dan tulus’ ini menjangkakan tidak mustahil PRU-13 akan diadakan awal tahun depan berdasarkan beberapa faktor. Ramai yang berasa petanda paling kuat adalah pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Bagi mereka yang memikirkan apa ingin difikirkan, surat tawaran kepada 111 imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk menunaikan haji tahun ini pun boleh dijadikan pertanda pilihan raya sudah hampir.

Apa pun, seperti kata Ku Li: “Ingatlah, walau apa pun terjadi, Malaysia ini negara anda. Ia negara kita. Ia memang banyak masalah. Malaysia perlukan kita semua”.

Tentukan semua kita yang layak sudah mendaftarkan diri sebagai pengundi. Masa sudah hampir. Jangan tidur, jangan diam!

 

Last Updated on Oct112011