Nov022011
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Tarikh PRU-13 mungkin awal

Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diramalkan diadakan lebih awal daripada tempoh genap lima tahun pada 2013.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau mengarahkan jentera parti Barisan Nasional (BN) Gua Musang membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan PRU-13 yang mungkin diadakan bila-bila masa.

Beliau berkata, setiap jentera parti jangan menganggap PRU-13 masih lambat kerana keputusan mengadakan pilihan raya berkenaan terletak pada kuasa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“PM mempunyai kuasa mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat dan tidak perlu tunggu genap lima tahun pada 2013,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Pemimpin Peringkat Peti Undi Lebir di Dewan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir dekat sini, petang kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang, Muhammad Zahari Othman.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian berkata, apabila jentera parti membuat persiapan lebih awal, mereka tidak berdepan masalah sekiranya PRU-13 diadakan bila-bila masa.

Beliau berkata, selepas pembubaran Dewan Rakyat, Dun turut dibubarkan untuk diadakan pilihan raya serentak di seluruh negara.

“Tidak mungkin hanya Dun bawah pemerintahan BN sahaja mengadakan pilihan raya dan Dun bawah kerajaan pembangkang seperti Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang juga turut mengambil langkah berbuat demikian.

“Oleh itu, kita mengharapkan setiap jentera parti mengambil langkah lebih tersusun dan mantap bagi menghadapi PRU-13 supaya tidak bercelaru,” katanya.

Menurutnya, beliau juga yakin kerusi BN bagi Parlimen Gua Musang dan tiga Dun termasuk Paloh, Galas dan Nenggiri boleh mencapai kemenangan dengan majoriti besar berbanding PRU-12 lalu.

Beliau berkata, ramalan itu berdasarkan sokongan kuat rakyat akar umbi yang mahukan wakil rakyat BN kekal menang bagi menjamin kemajuan berterusan.

“Saya terus turun padang untuk mendapat pelbagai pandangan daripada pemimpin akar umbi di samping mendengar rintihan masalah yang tidak diselesaikan untuk diambil tindakan segera,” katanya.

-Sumber Sinar Harian

link:http://www.sinarharian.com.my/cmlink/sinar-harian/edisi/kelantan/tarikh-pru-13-mungkin-awal-1.3050