Jan242012
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Ladang Kayu Gaharu Dan Rotan Untuk Orang Asli Di Kelantan

 

GUA MUSANG, 24 Jan (Bernama) -- Lebih 7,000 penduduk Orang Asli khususnya di sekitar Gua Musang akan menerima pendapatan lumayan apabila terbabit dengan projek ladang kayu gaharu dan rotan tidak lama lagi.

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, setiap mereka akan diberi saham dalam projek itu menerusi penubuhan koperasi.

"Walaupun projek itu masih dalam cadangan, tetapi kerajaan sedang proses untuk meluluskan peruntukan untuk dilaksanakan di kawasan yang sudah dikenal pasti sesuai untuk tujuan berkenaan.

"Masalah tanah tidak timbul kerana saya sudah berbincang dengan kepimpinan kerajaan negeri dan sedia meluluskan mengikut keluasan yang dipohon," katanya pada majlis Mesra Bersama Penduduk Orang Asli di Dewan Jubli Perak di Kuala Betis, di sini, Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Mat Yusoff Ab Ghani, Adun Galas Ab Aziz Yusof dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Faridah Mat.

"Saya mempunyai idea untuk membuka ladang gaharu dan rotan itu selepas mendapat pandangan daripada rakan-rakan luar negara kerana produk itu mempunyai nilai amat tinggi serta lumayan.

"Ladang itu setakat ini hanya sesuai di tanam di kawasan berhampiran penempatan Orang Asli yang masih ada tanah kosong untuk tujuan berkenaan, tinggal lagi kita perlu tunggu masa sesuai untuk dimajukan," katanya.

"Kita berusaha untuk membuka ladang gaharu dan rotan itu supaya kaum Orang Asli boleh hidup maju dengan memperoleh pendapatan lumayan setiap bulan tanpa bergantung sepenuhnya lagi pada hasil lain termasuk getah," kata Tengku Razaleigh.

Sumber: Bernama January 24, 2012 18:21 PM
http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=641903&cat=tm

 

Last Updated on Jan242012