Feb072012
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Hutang 2,228 peneroka lupus

GUA MUSANG: Kerajaan Pusat pada dasarnya sudah menyatakan persetujuan untuk melupuskan tunggakan hutang lapuk berjumlah RM114 juta, yang ditanggung 2,228 peneroka di sembilan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata kerajaan tidak mahu peneroka terbabit menanggung hutang lapuk dalam tempoh yang lama memandangkan RKT itu dibuka lebih 30 tahun lalu.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu dibuat antara beliau bersama menteri terbabit serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini dan mencapai kata sepakat bagi melupuskan tunggakan hutang peneroka berkenaan.

“Peneroka hanya perlu menunggu keputusan penuh kementerian mengenainya dalam masa terdekat dan percayalah, mereka tidak akan menanggung beban lagi terhadap hutang pembangunan ladang serta rumah masing-masing.

“Kalau kerajaan tidak buat keputusan seperti ini, sudah tentu peneroka terbabit tidak mampu membayar balik hutang itu,” katanya pada majlis Dialog Bersama Peneroka, di RKT Kesedar Paloh Tiga, dekat sini, petang kelmarin.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, masalah tunggakan hutang itu dibangkitkan setiap kali majlis perjumpaan dan Kerajaan Pusat memandang serius beban yang ditanggung kumpulan berkenaan.

“Kerajaan tidak mahu peneroka dibebankan dengan hutang selepas ini terutama sebaik saja proses tanam semula ladang selesai dan sudah sampai masanya hutang lapuk berkenaan dihapuskan.

“Saya berharap peneroka mendapat penjelasan yang tepat mengenai perkara ini kerana mereka kini hidup tertekan disebabkan hasil ladang tidak mencukupi untuk perbelanjaan keluarga,” katanya.

Beliau berkata, peneroka sejak dulu sampai sekarang tidak pernah hidup senang kerana berdepan dengan banyak masalah kehidupan yang perlu diselesaikan kerajaan.

“Kalau hendak dikirakan keseluruhan hutang setiap peneroka, ia sebenarnya masih banyak tertunggak kerana pengeluaran hasil ladang mereka hanya sekadar cukup belanja untuk keluarga saja,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Oleh Ramli Ibrahim,  This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

2012/02/06

link: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hutang2_228penerokalupus/Article