Apr102012
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

PPR untuk semua kaum

GUA MUSANG - Sebanyak 1,500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang julung kali dilaksanakan di Kelantan di tapak berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang akan diagihkan kepada penduduk berbilang kaum.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendirinya untuk pengagihan 50 peratus untuk kaum bumiputera manakala selebihnya untuk kaum Cina, India dan Orang Asli yang belum mempunyai kediaman tetap.

Malah, kata beliau, mereka yang tinggal di rumah setinggan dan menumpang di rumah ibu bapa setelah berumah tangga diberi keutamaan memiliki rumah tersebut yang dijangka siap tidak lama lagi.

“Rumah PPR itu hadiah Kerajaan Pusat kepada rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas kerana memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) November 2010 lalu.

“Projek seperti itu tidak dibina di kawasan lain dengan memberi keistimewaan harga murah tidak sampai RM40,000 seunit walaupun harga pembinaan sebenar lebih RM100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Jamuan Makan Malam anjuran Persatuan Yit Lan di kawasan Perindustrian di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof, Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Kelantan, Deputi Superintenden Mohd Nasir Ismail dan Pengerusi Persatuan Yit Lan, Pee Chee Chuan.

Tengku Razaleigh berkata, kerajaan BN tidak pernah berbohong dan terbukti pembinaan rumah PPR yang semakin rancak dalam pembinaan untuk faedah rakyat berpendapatan rendah.

Katanya, kerajaan juga memberi diskaun kepada penduduk yang berjaya memilikinya nanti dan mereka boleh membayar balik menerusi pinjaman bank dengan kadar lingkungan RM100 sebulan.

Beliau berkata, peringkat fasa pertama ini hanya dibina 1,000 unit dahulu manakala 500 unit lagi akan dibina dalam fasa kedua di kawasan lain tidak jauh dari situ.

“Kita yakin apabila siapnya nanti ia mampu dapat mengatasi masalah tempat tinggal bagi penduduk berpendapatan rendah itu dan sekali gus kita dapat menghapuskan pembinaan rumah di kawasan setinggan,” katanya.

 

Oleh WARTAWAN SINAR HARIAN 9 April 2012

Sumber : SINAR HARIAN

Link: http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/ppr-untuk-semua-kaum-1.38628