Aug092012
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Selesai Segera Isu Royalti

8 Ogos, SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah berharap isu tuntutan royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan akan diselesaikan segera kerana ia bukan rumit dan tidak melibatkan Kerajaan Pusat.

Bekas Pengerusi Petronas berkata, isu berkenaan timbul hanya kerana Petronas tidak menunaikan hak Kerajan Negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam perjanjian semasa Kelantan menyerahkan sepenuhnya hak milik Petroleum kepada syarikat minyak negara itu.

Beliau beberapa kali menekankan bahawa isu royalti lima peratus itu adalah antara Kerajaan Negeri dan Petronas.

"Jadi sekarang Petronas yang bertanggungjawab menyelesai perkara ini dengan kerajaan negeri, jadi tak berbangkit lagi soal pertikaian antara sesiapa pun cuma kelemahan Petronas kerana tidak membayar kepada kerajaan negeri," katanya dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini.

Bekas Menteri Kewangan ini mengulas penubuhan Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri, Sabtu lalu.

Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan masing-masing. Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Tengku Razaleigh juga berharap semua pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu dapat mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan rakyat.

"Saya harap dengan ikhlaslah cuba selesaikan tuntutan rakyat ini kerana ini adalah hak dan milik mereka jadi kalau kita berlengah-lengah susahlah semua pihak dan saya percaya kerajaan mahu jawatnkuasa khas ini bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perkara ini.

"Bagi saya kerjanya mudah sangat, rujuk balik kepada akta dan perjanjian itu saya rasa selesailah," katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan menawarkan khidmat nasihat sekiranya diminta oleh jawatankuasa berkenaan.

Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian tersebut dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975.

Dalam wawancara dengan Astro Awani baru-baru ini, beliau mahu kerajaan BN menyelesaikan isu royalti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh membidas sikap pihak tertentu yang  didakwa suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak Negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam Facebooknya kelmarin mempersoalkan “Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?”

Beliau menghubungkan komen tersebut kepada muka hadapan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.

Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa tersebut.

 

Sumber : Sinar Harian

Wartawan Sinar Harian

link: http://www.sinarharian.com.my/nasional/ku-li-selesai-segera-isu-royalti-1.74721