Sep162015
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Cabaran Dalam Pemupukan Negara

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekelian,

Saya amat berbesar hati di atas undangan untuk memberi ucaptama bagi memulakan Persidangan Felo Muda Perpaduan Nasional anjuran bersama IDEAS dan Merdeka Centre for Opinion Research. Temanya sesuai sekali; iaitu, Pemupukan Negara, Perpaduan dan Impian Malaysia: Dulu, Kini dan Akan Datang. Sesuai, kerana ia merangkumi sebab musabab wujudnya politik dan pengamal politik seperti saya. Saya berpendapat persidangan ini juga merupakan suatu landasan untuk pertukaran fikiran mengenai kemelut sosio-ekonomi yang melanda negeri kita yang tercinta ini.

2. Di samping itu, ia memberi peluang kepada kita mencari jalan untuk mengatasinya. Saranan ini penting kerana tuan-tuan dan puan-puan adalah anak-anak muda daripada Generasi Y yang menjadi tonggak negara. Apajua perakuan untuk membaikpulih keadaan berserabut ini kepada apa yang diimpikan oleh para pejuang kemerdekaan pasti akan mendapat perhatian pihak berkuasa. Setidak-tidaknya ia memberi peluang kepada anda untuk memberi pandangan mengenai rupabentuk Malaysia di hari muka yang akan bersama negara lain di kalangan masyarakat antarabangsa.

3. Inilah juga masanya untuk kita mengenang kembali hakikat bahawa pengasas negara kita, Tunku Abdul Rahman Putra, berazam untuk mendirikan sebuah negara berdaulat yang padu serta berbilang kaum ketika beliau mengadakan perundingan Merdeka bersama Lennox-Boyd di London pada bulan Januari 1956. Rombongan beliau yang terdiri daripada wakil-wakil MCA, MIC dan Raja-Raja Melayu mencermin akan maksud tersebut. Tidak menjadi masalah kepadanya bahawa negeri ini negeri Melayu. Beliau menerima hakikat wujudnya masyarakat berbilang kaum di negeri kita. Tunku mempunyai matlamat yang jelas, iaitu mewujudkan sebuah negara demokratik yang menjamin hak-hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara berlandaskan kehidupan aman damai.

4. Tunku amat menghargai keamanan dan sanggup berunding untuk menamatkan pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya yang bermula selepas Perang Dunia Kedua dan berakhir pada 1960 walaupun keadaan darurat akibatnya membawa kesan amat buruk terhadap eknomi kita pada waktu itu. Beliau dengan bijaknya menggunakan kekayaan negara sebagai sumber untuk mendapatkan sokongan rakyat terhadap usahanya untuk mematahkan ancaman tersebut. Masyarakat kita yang berbilang kaum telah menolak bentuk pemerintahan yang sanggup menggunakan keganasan seperti diajukan oleh PKM.

5. Tunku berniat mendirikan sebuah negara dan menggunakan kekayaannya untuk mewujudkan rakyat yang sentiasa gembira berpandukan sikap jujurnya yang menganggap dirinya sebagai perdana menteri paling senang hati di dunia. Sebagai seorang peguam, beliau mahu mewujudkan sebuah negara di mana pengasingan kuasa antara badan-badan Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan dihormati serta menjadi amalan seperti yang didapati dalam demokrasi. Ini sekaligus akan mewujudkan timbal balas antara satu sama lain. Tunku juga mahukan badan-badan pentadbiran negara seperti perkhidmatan awam dan badan-badan bertanggungjawab terhadap keselamatan menjalankan tugas mereka sebagai pelaksana dasar kerajaan tanpa memilih bulu.

6. Sedihnya, kini prestasi ketiga-tiga badan tersebut dan badan-badan pentadbiran yang lain itu mengecewakan. Umpamanya, ketua kerajaan ada kalannya membuli badan Eksekutif. Badan Kehakiman kita pernah dilemahkan dan, samada betul atau tidak, kini dianggap sebagai kurang berkesan. Berkaitan dengan badan Perundangan pula, jawatankuasa kerja parti politik yang menjadi asas kepada kerajaan campuran sekarang ini pernah menyisih Dewan Rakyat apabila ia membuat keputusan mengenai perkara di dalam bidang tugas dewan tersebut. Ini sekaligus merupakan suatu bentuk rampasan kuasa. Di samping itu, ada satu dua badan pentadbiran yang kini berlagak seperti parti politik. Selain daripada itu, politik di negeri kita ini sudah lama bersekongkol dengan perniagaan yang menyebabkan timbulnya amalan korup berleluasa. Ia menunjukkan seolah-olah para pemimpin kita telah hilang maruah disebabkan tamak dan haloba mereka yang mengejar kekayaan tanpa batas.

7. Selain daripada keadaan kerajaan kita yang menyedihkan, usaha untuk membina sebuah negara pun tidak ke mana. Para pemimpin politik kita tidak berhenti-henti melaungkan bahawa kita adalah sebuah negara. Tidak; Malaysia bukannya sebuah negara. Sedihkan? Tetapi inilah hakikatnya. Kita bersopan antara satu sama lain di khalayak ramai. Tetapi kadangkala terasa ketidak-jujurannya. Ketika bergaul dalam kumpulan berbilang kaum, kadangkala terdapat di antara kita yang bertutur dalam bahasa tidak difahami umum supaya tidak semua faham apa yang diajukan. Ketika bersendirian di rumah seringkali terdapat di antara kita yang mengutuk budaya kaum lain.

8. Kita tidak akan mengaku perkara ini sering berlaku, tetapi sebenarnya kita hidup berpuak-puak. Keadaan ini lebih nyata kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan kita jarang sekali mengambil kisah terhadap semangat keperibadian [ethos] kaum lain di Malaysia dan cara mereka melihat sesuatu yang asing [worldview] mengikut pandangan mereka. Kita tidak mungkin memahami falsafah hidup mereka ataupun worldview mereka, atau sikap dan aspirasi mereka kecualilah kita mempunyai ahli keluarga yang mempunyai suami atau isteri berlainan bangsa. Kita tidak mungkin dapat bersatu untuk membina budaya Malaysia yang mengandungi ciri kebudayaan kaum kita yang pelbagai itu. Ketiadaan budaya Malaysia ini membawa kesan negatif dalam usaha kita membangunkan negara dan membentuk bangsa oleh sebab budaya merupakan satu-satunya unsur terpenting dalam proses tersebut.

9. Tuan–tuan dan puan-puan para hadirin sekelian, maafkan saya kerana berkata begini tetapi pada hemat saya kita orang Melayu pun mempunyai tanggapan singkat mengenai masyarakat Malaysia yang lain. Kita menganggap diri sebagai kaum bersifat demokratik, bahkan terdapat bidalan yang menyatakan “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Tetapi kita lupa bahawa sifat tersebut mengutamakan taraf sama rata. Kita lupa bahawa kerajaan berdemokrasi merupakan sebuah kerajaan yang ditubuhkan oleh rakyat secara keseluruhan dan bukannya tertumpu kepada sesuatu bahagian, kelas atau kepentingan di dalam sesuatu masyarakat.

10. Dalam kita taksub untuk sentiasa menguasai keadaan, kita buat-buat lupa bahawa masyarakat yang lain pun banyak menyumbang khidmat bakti kepada Malaysia. Kita lupa bahawa ramai di antara mereka menyesuai dan menyerap diri ke dalam budaya tempatan. Kita juga lupa bahawa masyarakat Malaysia yang lain daripada kita menerima susunan susur galur [hierarchy] tradisional kita yang berpuncakkan raja. Sebenarnya keharmonian inilah meyakinkan pihak Inggeris bahawa kita bersedia untuk kemerdekaan.

11. Pada hemat saya orang Melayu, kita sebenarnya kurang percaya kepada diri sendiri, terutamanya dalam hubungan dan interaksi kita dengan masyarakat Malaysia yang lain. Kita juga tidak kurang juga berhasad dengki sesama sendiri serta suka berdendam kesumat. Inilah satu-satunya sifat jiwa Melayu yang kini menjadi sebahagian daripada ciri politik kita.

12. Politik Melayu lumrah dengan penggunaan agama dalam usaha mendapatkan sokongan. Ini tidak menghairankan kerana amnya sistem nilai Melayu berdasarkan nilai Islam. Apa yang menyedihkan ialah ada kalanya sesuatu isu agama itu diberi penerangan berbeza-beza oleh para ulamak untuk menyesuaikannya dengan pendirian politik masing-masing. Kadang kala ini menimbulkan kekeliruan. Ada ketikanya keadaan  menjadi lebih buruk kerana terdapat ulamak yang gagal menerangkan latar belakang terhadap sesuatu isu. Ini boleh menyebabkan orang ramai yang tidak faham akan selok-belok berkaitan pendirian Islam mengenai perkara tersebut memandang serong terhadap agama kita. Maka itu, sudah tiba masanya para ulamak menerangkan isu dan masalah berkaitan agama dengan terang dan nyata demi mengelakkan kekeliruan kepada rakyat. Selain daripada itu, para ulamak tidak boleh menzahirkan fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa keizinan Sultan sebagai ketua agama Islam negeri baginda.

13. Daripada apa yang telah diperkatakan, nyatalah kita masih terumbang ambing 58 tahun selepas tahun 1957. Kita fikir Malaysia ini sebuah negara; sebenarnya tidak. Kita bermatian menganggap Malaysia ini mengamal demokrasi sebenar dengan memberi alasan terdapat berbagai konsep demokrasi. Sayangnya kita tidak pernah diberitahu oleh pihak berkuasa apakah ukuran yang diguna untuk menyukat demokrasi kita ini.

14. Walaupun gambaran yang dipaparkan ini muram saya yakin anda semua dapat menceria dan menukarkannya. Sebagai kumpulan  Generasi Y, anda akan mewarisi negeri tercinta ini dan haruslah memikul tanggungjawab mengemudinya. Generasi anda seharusnya diwakili pada setiap tahap pembikinan keputusan di dalam kerajaan dan bidang siasah. Dengan cara ini anda tidak lagi perlu memberi pandangan kepada pengamal politik yang hanya mencari anda setiap lima tahun sekali ketika mereka berkempen di waktu pilihanraya. Saya pasti anda akan berjaya membina Malaysia yang dikagumi anak cucu anda; sebuah negara padu lagi yakin terhadap jatidirinya di mana setiap warga berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, sebuah negara yang dipuja serta dihormati dunia.

15. Bagaimanapun barang diingat bahawa buat masa ini kita berada dalam keadaan genting di mana mutu kehidupan kian merosot. Kita harus menumpukan perhatian kepada semangat kebangsaan yang semakin pudar. Sebagai contoh, izinkan saya menjuruskan perhatian kita kepada dua perkara kesayangan kita yang boleh membakar semangat. Baru-baru ini pasukan bolasepak kita dibelasah 10-0 oleh sebuah pasukan yang kurang terkenal di bidang sukan ini. Ini amat sedih dan memalukan. Pada suatu ketika dahulu kita sering mengalahkan pasukan seperti Korea Selatan dan Jepun yang kini boleh dikatakan setanding dengan pasukan dari Eropah dan Amerika Selatan dan jauh lebih maju daripada kita. Salah urus yang berlaku dalam pentadbiran bolasepak menyebabkan kita ketandusan bakat. Kini tiada lagi idola seperti Chandran, Mat Che Su, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Santokh Singh dan Ghani Minhat yang sentiasa mengecutkan perut lawan. Begitu juga dengan sukan hoki. Kita pernah menduduki salah satu empat tempat teratas di dunia hoki. Tetapi sekarang prestasi pasukan hoki kita tidak bermaya, lebih kurang seperti kebanyakan sukan lain di mana kita mengambil bahagian. Memandangkan sukan merupakan alat penting untuk memupuk  perpaduan dan membina negara, keadaan ini merugikan.

16. Sepekara lagi yang menjatuhkan semangat ialah kelembapan  prestasi ekonomi dan secara khususnya kejatuhan nilai Ringgit secara berterusan. Negeri yang pernah mengekori kita seperti Vietnam, Laos, Cambodia dan Myanmar kini mula menarik lari pelaburan asing dari Malaysia. Di samping itu kejatuhan nilai Ringgit menyedihkan pedagang dan pengimport. Begitu juga halnya dengan ibu-bapa yang menyara pendidikan tinggi anak di luar negeri.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekelian, inilah di antara cabaran yang kita hadapi. Terima kasih dan wassalam.

 

UCAPTAMA

DI PERSIDANGAN IDEAS MENGENAI PEMUPUKAN NEGARA, PERPADUAN DAN IMPIAN MALAYSIA: DULU, KINI DAN AKAN DATANG

PADA HARI RABU, 16.9.15 JAM 9:00 PAGI.

DI INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA, BUKIT TUNKU, KUALA LUMPUR