Nov082011
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Ramai Masih Kabur Tentang Angkatan Amanah Merdeka Pimpinan Ku Li

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Keputusan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menjadi presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat sivil, Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, mencetuskan teka-teki di kalangan ramai ahli politik dan penganalisis politik.

Mengapa beliau harus menyertai sebuah NGO? Apakah agenda beliau terutama ketika beliau masih dianggap seorang pemimpin veteran UMNO dan Anggota Parlimen (MP) bagi Barisan Nasional (BN) yang memerintah?

"Apakah tujuan sebuah NGO sedemikian? Apakah langkah mereka seterusnya? Tiada MP mahu membentuk sebuah NGO tanpa sebarang agenda. Beliau punya sesuatu yang tersembunyi," kata ahli politik veteran MCA Datuk Yap Pian Hon, yang juga ketua publisiti BN Selangor.

Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) percaya ahli-ahli politik di belakang Amanah, yang juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan minoriti, mungkin berhasrat menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil "kuasa ketiga" dalam BN.

Beliau berkata mungkin mereka memerlukan sebuah platform untuk mengulas isu-isu semasa oleh kerana kebanyakan pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan pada masa lalu.

Tengku Razaleigh pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan sementara timbalan presiden Amanah Datuk Seri Ong Tee Keat, pernah menjadi presiden MCA dan menteri pengangkutan sementara Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menteri pelancongan dan penerangan; dan Datuk S.Subramanian, timbalan menteri.

Ahli akademik itu berkata kita menunggu untuk melihat sama ada Amanah dapat mempengaruhi corak undian dalam pilihan raya umum akan datang.

Secara peribadi, beliau tidak fikir mereka boleh, tetapi jika mereka dapat menentukan tindakan mereka dengan betul, mereka boleh menjadi sebuah kuasa yang perlu diambil kira.

Beberapa orang peramal politik percaya Ku Li mungkin cuba meletakkan dirinya pada kedudukan yang membolehkannya membuat tawaran: dengan berada dalam Amanah beliau mendapat kedudukan terbaik bagi mendapatkan tawaran terbaik dari kedua-dua puak politik bertentangan.

Misalnya, kata mereka, ini terutama berlandaskan latar belakang kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, disabitkan kesalahan terhadap tuduhan sodomi dan dimasukkan penjara.

Dan isteri beliau yang juga presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun selepas beliau meletak jawatan sebagai MP Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil.

Beberapa orang penganalisis berpendapat Tengku Razaleigh mungkin muncul sebagai calon untuk memimpin Pembangkang jika Anwar terpinggir.

Namun Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng pula menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tetap menjadi calon pilihan tiga pihak dalam Pembangkang untuk jawatan perdana menteri sekalipun beliau diheret ke penjara.

"Tidak ada rundingan langsung (untuk Tengku Razaleigh menjadi pilihan Pembangkang untuk jawatan perdana menteri). Kami tidak tahu pendirian politik Ku Li," kata anggota CEC DAP Jeff Ooi.

"Beliau tidak boleh menaiki helikopter (pantas) (untuk ke atas). Kami (Pakatan Pembangkang PKR-DAP-PAS) telah bertungkus lumus membentuk sebuah fron alternatif. Jika beliau ingin menyertai kami, kami tidak akan terus menolaknya tetapi hakikatanya bagi kami, beliau setakat mempunyai taraf putera raja".

Ooi tidak fikir pemimpin-pemimpin Amanah boleh memberi sebarang cabaran langsung terhadap Pembangkang kerana beliau percaya kebanyakan mereka adalah dari "era sudah berlalu" dan kurang daya tarikan kini.

"Ambil Tengku Razaleigh sebagai contoh. Beliau orang luar kepada UMNO dan orang luar kepada PR (Pakatan Rakyat). Beliau hanya berada dalam kumpulannya sendiri.

Tidak membawa sebarang kerosakan kepada kami," kata beliau, dan menambah langkah putera Kelantan itu mengetuai Amanah hanya menarik sedikit perhatian.

Jadi apakah percaturan Amanah? Tengku Razaleigh masih "non-commital" dan samar-samar tentang rancangan.

Pada sidang akhbar hari ini untuk mengumumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan meluluskan penubuhan Amanah, Tengku Razaleigh berkata walaupun Amanah akan kekal sebagai sebuah NGO dalam masa terdekat, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan bergerak aktif dalam politik.

"Terpulang kepada anggota...Saya tidak kata ya atau kata tidak kerana ia bergantung pada anggota. Anda tidak boleh menolak apa jua perkara kerana kemungkinannya ada," kata beliau.

Bila ditanya mengenai peranan beliau dalam pilihan raya umum akan datang, Ku Li menimbulkan teka teki kepada setiap orang bila beliau berkata adalah amat sukar untuk menyatakan apa beliau akan lakukan seterusnya.

Credit to Bernama link:http://bernama.com.my/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=625391