Nov032003
Print
Tengku Razaleigh Hamzah

Ucapan Membahaskan Usul Undi Percaya Terhadap Perdana Menteri Ke-5 3 November 2003

 

1. Saya bangun untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menimbang dan menyokong usul percaya terhadap Perdana Menteri kita yang Kelima. Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kepala Batas, di atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri kita. Saya berdoa, mudah-mudahan beliau dan pentadbiran barunya diberi petunjuk untuk mengatasi apa jua masalah dalam membina Negara yang lebih maju, makmur dan diredhai Allah.

2. Saya percaya, negara kita akan terus menjadi tempat terbaik untuk kita diami. Apa yang kita nikmati dan banggakan hari ini, ialah kerana adanya asa kukuh yang ditinggalkan oleh mereka sebelum kita. Kita tidak menjadi komunis kerana kejayaan orang terdahulu menolak ideologi itu dengan apa cara sekali pun. Kita berjaya mengatasi konfrontasi dengan negara jiran dan mengukuhkan konsep negara Malaysia di atas persepakatan kita dengan saudara kita dari Malaysia Timur. Kita terima kepahitan perpisahan dengan Singapura atas keyakinan majoriti kita, bahawa, itulah cara yang terbaik untuk keutuhan orang Melayu dan kestabilan negara kita. Kita mampu merenangi gelombang krisis kewangan tahun 1997, tanpa pertumpahan darah seperti di negara jiran kita, kerana adanya Dasar Ekonomi Baru yang berjaya menenggelamkan api kecemburuan kaum di kalangan kita.

3. Semua asas tadi dibina menerusi kesungguhan politik pemimpin-pemimpin terdahulu. Ia dapat dilaksanakan dengan kerjasama dan kesediaan pelbagai pihak yang sanggup mengenepikan kepentingan mereka demi kepentingan negara kita yang tercinta.

4. Dengan ikhlas saya turut menaruh harapan – perpaduan dan kesatuan sepatutnya menjadi agenda utama pentadbiran baru kita. Perpaduan dan kesatuan ini mesti menjangkaui perpaduan puak tertentu. Perpaduan hakiki mesti merangkumi seluruh rakyat negari ini atas nama bangsa Malaysia yang bersatu padu. Ia mungkin dilihat mustahil, tetapi kalau kita ikhlas dan ada kesungguhan politik, kita boleh melakukannya. Dulu kita pernah melakukannya. Saya yakin kita boleh melakukannya sekali lagi.

5. Sebelum ini kita telah bekerja keras untuk menyediakan yang terbaik untuk rakyat kita. Kita berusaha menghapuskan kemiskinan, buta huruf dan kejahilan masyarakat. Kita membina infrastruktur negara – Masjid, madrasah, sekolah, universiti, hospital, klink, jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih seberapa yang terbaik untuk rakyat kita. Kita telah cuba menghapuskan jurang perbezaan di kalangan kita. Sebahagian besar persoalan ini sudah digariskan dalam Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Lapan yang baru dibentangkan di Dewan yang mulia ini. Setinggi penghargaan mesti diberikan, terutamanya kepada semua kakitangan kerajaan, tentera, polis, guru, doktor, dan pekerja kesihatan yang terlibat dalam membina negara dan memelihara kesejahteraan kita semua.

6. Sebagai negara yang membangun , kita pula sentiasa berasa di persimpangan untuk memilih keutamaan dalam memenuhi kehendak kita yang tidak terbatas, sedangkan sumber yang kita miliki sangat terbatas. Setiap pilihan yang kita buat, ada kosnya. Yang paling ditakuti ialah kos kemarahan rakyat sekiranya mereka rasa terpinggir. Kemarahan ini boleh memecahbelahkan kita. Tahun 1990 kita gagal mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk membolehkan Bumiputra memiliki 30 peratus saham ekuiti di negara ini. Kini, 13 tahun sudah berlalu. Tahap pencapaian tahun 1990 masih tidak berubah. Kini kita menyebut tahun 2010 pula sebagai tarikh baru untuk mencapai sasaran tersebut. Ini bermakna kita hanya 7 tahun untuk menebus kegagalan 13 tahun ini. Saya harap, di bawah pentadbiran baru, DEB perlu diberi penegasan semula, dan, tidak ada tarikh baru lagi selepas tahun 2010. Mari kita angkat darjat semua mereka yang ketinggalan tanpa mengira kaum. Saya percaya, sekiranya berjaya, kaum Bumiputra turut beruntung, kerana merekalah yang paling banyak ketinggalan. Oleh itu, saya percaya, isu subsidi, biasiswa, tongkat, dan apa jua bantuan dan galakan yang menjadikan Dasar Ekonomi Baru begitu berjaya di peringkat awal perlaksanaannya dulu, mesti diperhebatkan kembali sebelum peraturan WTO dikuatkuasakan. Masa tidak menyebelahi kita, tetapi, tanpa berbuat demikian, kita akan melihat jurang perbezaan di kalangan kita bertambah besar. Jurang ini akan bertambah parah apabila desakan zaman sains, teknologi maklumat dan K-ekonomi, memerlukan pelaburan besar setiap keluarga untuk mengejar mereka yang lebih berkemampuan. Kalau tidak, yang miskin akan terus corot ke belakang. Kalau yang corot itu Melayu, maka, bahana kecemburuan kaum tidak mustahil akan berulang kembali.

7. Kemajuan sains dan teknologi maklumat negara-negara maju pula, bukan sahaja menguasai kita dari segi ekonomi dan perdagangan, tetapi turut diterjemahkan melalui kehendak mereka menguasai geo-politik dunia. Di sini, kekayaan dan kekuatan ekonomi tidak boleh dipisahkan dengan isu keselamatan dan diplomatik. Lebih-lebih lagi kita pula sering dilihat gemar mengherdik harimau buas. Saya percaya, kita sudah ada rancangan tersendiri untuk mengendalikan taring dan kuk harimau yang kita herdik itu. Mungkin kita boleh bertindak seperti nyamuk yang mengganggu gajah, kerana gajah sukar memijak nyamuk. Namun saya percaya, di bawah pentadbiran baru, kita tidak mahu menjadi nyamuk selama-lamanya. Kita mahu jadi besar dan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja.

8. Cabaran AFTA dan WTO berada di depan kita. Akibat sebenarnya belum kita ketahui, tetapi secara kasar, kita sudah boleh membuat perkiraan sendiri. Apakan barangan kita sudah berdaya saing? Apakah ia mempunyai pasaran yang istimewa atau (dengan izin) market niche? Apakah teknologi pertanian kita cukup untuk menghasilkan makanan kita sendiri yang lebih murah daripada yang dihasilkan orang lain? Apakah tanpa subsidi dan bantuan, pak tani dan nelayan kita selamat dan bersedia mengharungi kehidupannya sendiri? Apakah budaya dan cara hidup kita tercabar di bawah dasar langit terbuka? Apakah sikap orang kita masih ditakuk lama atau cukup terlatih dalam menghadapi cabaran global ini? Apakah sistem pendidikan kita mampu menghambat sistem pendidikan negara-negara maju, tanpa meminggirkan sebahagian orang kita sendiri? Apakah anak muda sudah diberi tempat dan pendedahan ayang wajar untuk bersaing dengan orang lain dari negara-negara lain? Apakah tenaga kerja kita berkemampuan menangani corak aliran tenaga kerja tanpa sempadan? Sebagai negara yang menerajui kepimpinan Pergerakan Negara-negara Berkecuali, dan Negara-negara Islam pula, apakah kita bebas dari tindak balas dan ancaman geo-politik kuasa-kuasa besar?

9. Saya yakin, cabaran global lebih mudah diatasi sekiranya kita ada kekuatan domestik. Di kalangan kita mungkin ramai yang berbeza pendapat, tetapi sekiranya perbezaan ini diuruskan dengan baik, perbezaan boleh membawa rahmat. Lagi pun asas negara kita dibina ialah untuk menguruskan perbezaan ini, kerana sememangnya negara kita mengandungi pelbagai komponen yang sangat berbeza. Semua ini diuruskan melalui kontrak sosial yang menjadi asas perlembagaan kita. Setiap komponen ini dijamin hak masing-masing. Sebarang usaha menggangu hak yang di jamin akan merosakkan keseimbangan yang menjadi tonggak kestabilan kita hari ini.

10. Sebarang pertelingkahan sepatutnya diuruskan melalui sistem demokrasi yang kita miliki hari ini. Kita ada Raja Perlembagaan yang menjadi payung untuk semua. Kita ada sistem kehakiman yang sepatutnya bebas dari campurtangan politik dan mampu melahirkan hakim-hakim yang berwibawa agar keadilan sebenar terjamin untuk semua rakyat. Kita ada Dewan yang mulia ini untuk menggubal undang-undang. Kita ada system pentadbiran yang amat kompleks dan mengandungi prosidur yang ketat. Ia bukan sekadar untuk melaksanakan dasar yang kita putuskan di sini, tetapi juga untuk mempastikan setiap sen wang rakyat dipertanggungjawabkan. Bahkan, apabila kita ada prosidur tender terbuka bagi projek-projek kerajaan, ia bertujuan untuk mempastikan projek itu dilaksanakan secara kos-efektif dan telus di kacamata rakyat.

11. Semua ini sudah menjadi asas system berkerajaan kita sejak merdeka dulu lagi. Inilah yang perlu kita pelihara dan baik pulih sekiranya ia rosak. Kita tidak perlu buat perlembagaan baru atau sistem pentadbiran baru seperti di negara jiran setelah rasuah dan penyalahgunaan kuasa menghancurkan ekonomi mereka beberapa tahun dulu. Lagi pun hari ini, mereka sudah menyedari bahawa perlembagaan dan peraturan sahaja tidak berguna sekiranya ia tidak dapat menukar niat dan tabiat buruk orang yang berkuasa, terutamanya mereka yang mengejar kuasa untuk mencari kekayaan peribadi. Sebab itulah saya berharap, sebarang persepsi bahawa di Malaysia masih banyak amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan dilenyapkan oleh pentadbiran baru ini. Kuatkuasakanlah segala peraturan dan undang-undang yang sedia ada. Saya percaya, rakyat turut berharap pentadbiran baru ini akan merupakan satu pasukan yang terdiri dari mereka yang berupaya tinggi dan bersih dari sebarang persepsi negative. Saya yakin, kewibawaan kerajaan amat penting dalam usaha meyakin dan menyatukan semua pihak ketika menghadapi cabaran global yang lebih kelak.

12. Kerajaan yang diredhai Allah ialah kerajaan yang melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya. Amanah ini diberikan Allah melalui rakyat. Usul di Dewan yang mulia ini adalah simbol bahawa kuasa di negara kita hanya sah sekiranya disahkan oleh majoriti mereka yang dipilih oleh majoriti rakyat negara ini. Ini juga bermakna pemimpin adalah milik rakyat, bukan milik keluarga atau sahabat andai tertentu. Maka kepada semua rakyatlah kita mesti bertanggungjawab melaksanakan amanah ini. Guna kesempatan ini untuk mengukuhkan sistem berkerajaan yang baik, yang tidak hanya berpusat kepada mana-mana individu yang berkuasa. Pemimpin boleh datang dan pergi. Sistem yang baik akan terus diwarisi zaman berzaman.

13. Dewan yang mulia ini sering menjadi arena untuk kita berdebat. Namun, kehidupan sebenar bukan sekadar untuk menang debat. Kehidupan ialah bagaiman kita bekerjasama membina kehidupan terbaik bagi semua orang. Semoga pada detik bersejarah ini, semua pihak – termasuk penyokong kerajaan dan pembangkang – dapat berlapang dada dan fikiran untuk mencari jalan terbaik bagi kehidupan terbaik rakyat negara yang tercinta ini.

14. Mari kita sama-sama berdoa, semoga Allah mengukuhkan iman kita, persaudaraan kita, menjauhi bangsa kita daripada kemungkaran politik dan ekonomi, mudah-mudahan kita senantiasa beroleh kemenangan.

15. Saya mohon menyokong.

 

Ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah

Membahaskan Usul Undi Percaya Terhadap Perdana Menteri Ke Lima Di Dewan Rakyat, 3 November 2003

 

 

 

Last Updated on Oct022011